
JAKARTA: Indonesia meningkatkan usaha pengubahsuaian cuaca di Wilayah Riau sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan kebakaran hutan dan tanah, dengan menyebarkan 25 tan garam bagi merangsang hujan sejak akhir Mac.
Ketua Kecemasan dan Logistik Agensi Pengurusan Bencana Daerah dan Jabatan Bomba Riau (BPBD Damkar), Jim Gafur berkata, fasa kedua Operasi Pengubahsuaian Cuaca (OMC), yang bermula pada 28 Mac bertujuan menghasilkan hujan buatan untuk melembapkan tanah, khususnya di kawasan gambut.
Beliau berkata, operasi yang sama turut dilaksanakan pada Februari.
“OMC tertumpu di kawasan pesisir timur Riau iaitu Bengkalis, Indragiri Hilir, Siak, Pelalawan dan Dumai,” katanya di Pekanbaru, menurut Agensi Berita ANTARA pada Jumaat.
Jim berkata, kawasan sasaran dikenal pasti berdasarkan analisis dan cadangan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG).
Langkah yang dipertingkatkan itu diambil susulan peningkatan risiko kebakaran di Riau, apabila kebakaran hutan dan tanah memusnahkan lebih 4,400 hektar pada awal 2026, menurut Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia.
Berdasarkan data pemantauan kebakaran kementerian itu, wilayah berkenaan turut merekodkan jumlah titik panas tertinggi di seluruh negara pada Mac.
Pasukan Manggala Agni dari Pusat Kawalan Kebakaran Hutan Wilayah Sumatera memaklumkan keadaan terkini menunjukkan perkembangan positif, dengan jumlah titik panas menurun dan tiada kebakaran tanah aktif dilaporkan setakat ini. – Bernama