Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Indonesia tetap kenaikan tambang pada 13 peratus berikutan lonjakan kos bahan api penerbangan
  • GLOBAL

Indonesia tetap kenaikan tambang pada 13 peratus berikutan lonjakan kos bahan api penerbangan

Utusan Sarawak 5 hours ago
INDONESIA tetap kenaikan tambang pada 13 peratus berikutan lonjakan kos bahan api penerbangan. Gambar hiasan.

JAKARTA: Indonesia telah mengehadkan kenaikan tambang penerbangan domestik antara sembilan hingga 13 peratus untuk memastikan tiket mampu dibeli oleh orang ramai susulan pengenalan langkah untuk mengurangkan tekanan kos ke atas syarikat penerbangan berikutan lonjakan harga bahan api jet.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, langkah itu dibuat akibat kenaikan dalam harga bahan api turbin penerbangan (avtur) di tengah-tengah perkembangan geopolitik dan geo-ekonomi global yang terus memberi tekanan, dengan bahan api menyumbang sekitar 40 peratus daripada kos operasi syarikat penerbangan.

“Avtur merupakan bahan api tanpa subsidi dengan harganya mengikut perkembangan pasaran, dan sudah tentu, jika kita tidak membuat pelarasan, banyak syarikat penerbangan akan mengambil kesempatan daripada perbezaan harga.

“Oleh itu, kerajaan sedang menyediakan langkah mitigasi strategik supaya harga tiket kekal berpatutan untuk orang ramai. Apa yang kami sasarkan adalah untuk mengekalkan harga tiket,” katanya pada sidang media hari ini.

Airlangga menjelaskan setakat 1 April, harga avtur di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta telah mencecah sekitar 23,551 rupiah seliter, manakala di Thailand lebih kurang 29,518 rupiah dan di Filipina pada 25,326 rupiah. (100,000 rupiah = RM23.62)

Langkah ini merangkumi tanggungan cukai nilai tambah (VAT) 11 peratus oleh kerajaan ke atas tiket domestik kelas ekonomi, yang akan dilaksanakan dengan subsidi dianggarkan sekitar 1.3 trilion rupiah sebulan.

Bagi menampung kenaikan kos, katanya, Kementerian Pengangkutan telah menaikkan surcaj bahan api kepada 38 peratus, berdasarkan had tarif atas yang ditetapkan pada 2019 serta digunakan secara seragam untuk pesawat jet dan kipas.

Beliau berkata, surcaj itu sebelum ini berjumlah 10 peratus untuk pesawat jet dan 25 peratus untuk pesawat kipas.

“Polisi surcaj bahan api dan VAT yang ditanggung oleh kerajaan akan dilaksanakan selama dua bulan selaras dengan program yang diumumkan sebelum ini dan akan terus dinilai bergantung kepada perkembangan geopolitik serta konflik di Asia Barat,” katanya.

Selain itu, kerajaan telah memberikan kelonggaran kepada Pertamina dalam urusan pembayarannya dengan syarikat penerbangan melalui terma perniagaan ke perniagaan.

Bagi mengekalkan dan meningkatkan daya saing ekosistem penerbangan, kerajaan juga menyediakan insentif dengan mengurangkan duti import alat ganti pesawat kepada sifar peratus.

Katanya, ini dijangka mampu mengurangkan kos operasi syarikat penerbangan memandangkan duti import ke atas alat ganti mencecah sekitar 500 bilion rupiah pada tahun sebelum ini.

“Dasar ini dijangka akan mengukuhkan daya saing industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, dengan potensi aktiviti ekonomi meningkat sekitar AS$700 juta setahun, menyumbang sehingga AS$1.49 bilion kepada keluaran dalam negara kasar selain mewujudkan sekitar 1,000 pekerjaan langsung serta hampir tiga kali ganda lebih banyak pekerjaan tidak langsung. (AS$1 = RM4.02).

“Ini akan disusuli dengan pengeluaran peraturan teknikal termasuk daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perindustrian,” katanya.

Beliau menambah bahawa inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan yang lebih luas untuk menyokong kemampanan industri penerbangan negara sambil mengekalkan kemampuan kepada pengguna di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Gunung Semeru meletus tujuh kali, aktiviti Gunung Dukono meningkat
Next: Beberapa penerbangan ke Soekarno-Hatta dilencongkan akibat cuaca buruk

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.