LEMBATA: Tentera laut Indonesia mempersiapkan kapal hospital untuk membantu merawat mangsa yang mengalami kecederaan akibat taufan yang membunuh lebih daripada 150 orang di Nusantara dan Timor Leste semalam, kata agensi bencana itu.
Helikopter juga digunakan untuk menghantar makanan dan barang keperluan lain ke desa terpencil, ketika penyelamat beralih kepada anjing penghidu bagi mencari puluhan mangsa yang masih hilang setelah banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda pada hujung minggu di beberapa negara di Asia Tenggara.
Hujan lebat akibat Taufan Tropika Seroja, salah satu ribut paling dahsyat yang melanda wilayah ini selama bertahun-tahun menjadikan komuniti kecil lumpuh akibat banjir kilat dan menyebabkan sekitar 10,000 orang melarikan diri ke tempat perlindungan.
Taufan tersebut turut memusnahkan bangunan dan beberapa kampung di lereng gunung serta kawasan pantai di Pulau Lembata Indonesia yang terletak jauh dan terpencil.
Agensi Bencana Indonesia mengatakan anjing penghidu digunakan dengan harapan dapat menemui mayat sekitar 76 mangsa yang masih hilang dan individu yang terselamat.
Pada masa sama, sekitar 120 orang telah disenaraikan meninggal dunia di gugusan pulau terpencil itu.
Sementara itu, 34 orang lagi telah disenaraikan sebagai terbunuh di Timor Leste, sebuah negara pulau kecil dengan populasi penduduk 1.3 juta di antara Indonesia dan Australia.
Ibu kotanya, Dili turut terjejas dengan bahagian depan istana presidennya berubah menjadi lubang lumpur.
Menurut jurucakap agenci bencana Indonesia, Raditya Jati, kapal hospital tersebut akan meninggalkan Jakarta dan Semarang, sebuah kota di sebelah timur ibu kota Indonesia, menuju wilayah yang dilanda bencana.
Penyelamat telah menghabiskan beberapa hari terakhir menggunakan penggali dan penyodok untuk mengeluarkan mayat yang ditutupi lumpur dan serpihan.
Sementara itu, hospital, jambatan dan ribuan rumah rosak atau musnah akibat ribut yang membadai kebanyakkan kampung kecil.
Pihak berkuasa di kedua-dua negara juga bertempur bagi mengekang penularan Covid-19 di tempat perlindungan yang sesak.
Terdahulu, Timor Leste dengan pantas menutup sempadannya tahun lalu untuk mengelakkan wabak yang mengancam akan membanjiri sistem kesihatan negara itu yang tidak stabil.
Kejadian tanah runtuh dan banjir kilat adalah perkara biasa di seluruh kepulauan Indonesia semasa musim hujan.
Pada Januari lalu menyaksikan banjir melanda Bandar Sumedang di Jawa Barat dan membunuh 40 orang dan pada September lalu, sekitar 11 orang terbunuh akibat tanah runtuh di Borneo.
Badan Bencana Indonesia menganggarkan bahawa 125 juta rakyat Indonesia yakni hampir separuh daripada populasinya tinggal di kawasan yang berisiko tanah runtuh.
Menurut pakar alam sekitar, bencana alam itu sering berlaku disebabkan aktiviti penebangan hutan. -AFP