PUTRAJAYA: Malaysia telah menerangkan kepada Indonesia tentang perubahan dasar dan penjajaran fungsi pengurusan pekerja asing di Malaysia dan ia disambut baik oleh republik itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin berkata, perkara itu antara yang disentuh dalam pertemuannya dengan Menteri Ketenagakerjaan Ida Fauziyah dan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Yasonna H. Laoly semalam, sempena lawatan kerja delegasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) ke Indonesia.
Indonesia antara negara sumber utama pekerja asing, adalah negara pertama yang dilawati delegasi bagi menyusul keputusan pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) awal bulan ini terkait dengan pengurusan penggajian pekerja asing.
Saifuddin berkata beliau telah menerangkan tentang perubahan dasar di Malaysia berkenaan pekerja asing yang merujuk kepada penjajaran pengurusan pekerja asing termasuk Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan pelanjutan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin 2.0 yang akan mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor kritikal untuk memacu pembangunan ekonomi negara.
“Pihak Indonesia menyambut baik perubahan dasar dan penjajaran fungsi pengurusan pekerja asing di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini, serta menambah persetujuan itu akan dimanifestasikan melalui perbincangan di peringkat pegawai dalam mekanisme jawatankuasa sedia ada antara dua negara itu.
Beliau berkata, perbincangan turut menyentuh perihal penguatkuasaan undang-undang imigresen dan perburuhan melibatkan pekerja Indonesia, pengurusan penghantaran pulang banduan dan tahanan imigresen serta tindakan penyelarasan bagi meminimumkan risiko pekerja asing daripada diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Turut dibangkitkan pengurangan tempoh masa dan kos migrasi yang terkait dengan penggajian pekerja asing serta mengoptimumkan penggunaan teknologi pendigitalan bagi tujuan integrasi sistem dan memudah cara pemantauan pekerja berkenaan,” katanya.
Turut dibangkitkan ialah beberapa tindakan yang perlu diambil dengan kadar segera susulan keputusan Anwar Ibrahim dan Jokowi bagi menambah baik pengurusan pekerja asing Indonesia di Malaysia.
“Turut dibincangkan ialah perihal kerjasama keimigresenan dan kawalan sempadan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan kedua-dua negara dapat direncanakan dengan baik,” katanya. – Bernama