
JAKARTA: Indonesia sedang berunding untuk mendapatkan pelepasan dua kapal tangki milik Pertamina International Shipping (PIS) yang masih berada di Selat Hormuz di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia berkata kapal tersebut sedang mencari tempat yang lebih selamat untuk berlabuh, sementara kerajaan berusaha memastikan keselamatan dan pelepasan akhir mereka dari kawasan itu.
“Terdapat dua kapal kargo milik Pertamina terperangkap di Selat Hormuz. Sekarang kapal-kapal itu sedang berlabuh untuk mencari tempat yang lebih selamat, sementara kami menjalankan perundingan,” katanya, menurut agensi berita nasional ANTARA, pada Khamis.
Beliau berkata Pertamina juga telah memastikan keselamatan anak kapal di atas kapal tersebut di tengah-tengah konflik yang berterusan melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran di Asia Barat.
Bahlil juga memberi jaminan bahawa situasi itu tidak akan mengganggu keselamatan tenaga Indonesia, memandangkan kerajaan telah mengambil langkah untuk mendapatkan bekalan tenaga alternatif, termasuk dari AS.
Sementara itu, PIS berkata pada Isnin lalu bahawa dua kapalnya – MT Gamsunoro, yang sedang memuatkan kargo di Khor al Zubair di Iraq, dan MT Pertamina Pride, yang telah selesai memuatkan kargo dan bersauh di Ras Tanura di Arab Saudi – masih berada dalam kawasan Teluk dan sedang dipantau secara masa nyata bagi memastikan keadaan keselamatan. – Bernama