
JAKARTA: Kanun Jenayah Kebangsaan (KUHP) dan Kanun Prosedur Jenayah (KUHAP) yang baharu digubal di Indonesia memperkenalkan khidmat masyarakat, pengantaraan dan pemulihan sebagai alternatif kepada hukuman pemenjaraan.
Menurut Agensi Berita ANTARA, KUHP baharu itu mencerminkan peralihan sistem keadilan jenayah negara berkenaan daripada pendekatan bersifat punitif atau retributif kepada pendekatan restoratif yang lebih mengutamakan pemulihan serta rekonsiliasi.
Selain khidmat masyarakat dan pengantaraan, kanun itu turut memperuntukkan pemulihan perubatan atau sosial bagi pengguna narkotik, satu langkah yang bertujuan mengurangkan kesesakan penjara.
Kanun yang baharu dikuatkuasakan itu menggantikan peraturan lama, termasuk peruntukan yang diwarisi daripada undang-undang jenayah era penjajahan Belanda, sekali gus menandakan pembaharuan besar dalam landskap perundangan Indonesia.
Sementara itu, KUHAP memperkukuh prosedur penyiasatan, pendakwaan dan perbicaraan dengan meningkatkan ketelusan, melindungi hak mangsa dan saksi, memperluas mekanisme pampasan, serta mengintegrasikan sistem digital bagi meningkatkan kecekapan.
Walau bagaimanapun, kedua-dua kanun tersebut tidak bersifat retrospektif. Ini bermakna, kes-kes yang telah dimulakan sebelum tarikh penguatkuasaan akan tetap diadili di bawah undang-undang terdahulu.- Bernama