JAKARTA: Indonesia memadam kira-kira lima juta akaun milik pengguna bawah umur daripada pelbagai platform digital susulan pelaksanaan Peraturan Kerajaan mengenai Tadbir Urus Sistem Elektronik bagi Perlindungan Kanak-Kanak.
Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Meutya Hafid berkata jumlah itu dicapai menerusi kerjasama dengan platform digital.
“Bersama-sama platform berkenaan, kami telah memadam lima juta akaun kanak-kanak. Walaupun lima juta pengguna masih kecil berbanding sasaran kami, pada peringkat global pencapaian ini mengatasi apa yang dilakukan TikTok di Australia,” kata beliau pada Selasa, menurut Agensi Berita Antara.
Meutya berkata Indonesia menggunakan pendekatan berasaskan risiko bagi melindungi kanak-kanak dalam talian, berbanding mengenakan larangan umur secara menyeluruh seperti yang dilaksanakan di Australia.
Di bawah pendekatan itu, kanak-kanak berusia bawah 16 tahun dilarang mengakses platform digital yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.
Peraturan yang dikenali sebagai PP Tunas itu bertujuan menggalakkan syarikat teknologi mereka bentuk semula perkhidmatan untuk pasaran Indonesia demi memberikan perlindungan lebih baik kepada kanak-kanak.
Sebagai contoh, platform permainan Roblox menyahaktifkan fungsi sembang secara lalai bagi pengguna Indonesia berusia bawah 16 tahun, melainkan dengan persetujuan ibu bapa.
“Kami berharap pada masa akan datang, langkah ini bukan sekadar melarang kanak-kanak daripada membuka akaun, tetapi menjadi gerakan lebih luas yang menggalakkan platform melakukan perubahan,” katanya.
Bagaimanapun, Meutya mengakui pelaksanaan peraturan itu masih mencabar, khususnya dari segi pengesahan umur kerana banyak syarikat teknologi masih belum menggunakan kaedah lebih canggih seperti algoritma anggaran umur, pengesahan wajah atau analisis tingkah laku.
Beliau berkata kerangka semasa mewajibkan syarikat mengemukakan penilaian kendiri yang memperincikan tahap risiko yang ditimbulkan perkhidmatan masing-masing.
Setakat ini, kementerian telah membuat penilaian membabitkan 200 platform yang dikendalikan oleh 79 Penyedia Sistem Elektronik, dengan lapan platform mengklasifikasikan perkhidmatan mereka sebagai berisiko tinggi. – Bernama




