
Pertahanan Indonesia, Yance Sayuri terbaring kecewa selepas tamat perlawanan. Foto AFP
OSAKA: Ketua jurulatih Indonesia, Patrick Kluivert menegaskan barisan pemainnya perlu menjadikan kekalahan memalukan 0-6 kepada Jepun sebagai satu pengajaran menjelang pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026.
Walaupun dibelasah teruk di tangan gergasi Asia itu dalam aksi terakhir Kumpulan C, skuad Garuda masih meneruskan impian untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sebagai sebuah negara merdeka.
Indonesia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga keempat dan bakal beraksi di pusingan keempat yang bermula Oktober ini bersama lima pasukan lain iaitu Arab Saudi, Iraq, Oman, Emiriah Arab Bersatu dan juara Asia, Qatar.
Undian rasmi dijangka berlangsung bulan hadapan.
Pada pusingan keempat nanti, enam pasukan akan diundi kepada dua kumpulan, masing-masing tiga pasukan.
Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Mengulas kekalahan besar di Stadium Panasonic Suita, legenda Belanda dan Barcelona itu mengakui Jepun terlalu ampuh buat pasukannya.
“Jepun memang terlalu besar buat kami. Tapi kekalahan ini perlu dijadikan pengajaran,” kata Kluivert, 48, yang mengambil alih tugas mengemudi skuad kebangsaan Indonesia di pertengahan kempen kelayakan.
“Kami kecewa, itu sudah pasti. Tapi sekarang tumpuan saya adalah untuk menilai semula aksi ini, belajar daripadanya, dan bersiap sedia untuk pusingan keempat,” tambahnya lagi. – AFP