JAKARTA: Indonesia memperluas dasar kemasukan bebas visa kepada warganegara dari enam negara dan wilayah.
Menurut Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, negara dan wilayah berkenaan ialah Turkiye, Brazil, Peru, Kazakhstan, Macau dan Belarus.
“Berdasarkan keputusan penilaian dan mesyuarat penyelarasan antara kementerian yang menyelia undang-undang, hak asasi manusia, imigresen dan pemasyarakatan, menteri telah memperluas senarai negara, wilayah pentadbiran khas dan entiti tertentu yang layak untuk lawatan tanpa visa,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut kementerian itu, penilaian mengambil kira prinsip timbal balik dan faedah bersama, keselamatan negara, pelancongan, ekonomi dan pelaburan, serta pertimbangan lain yang ditentukan oleh Presiden.
Peraturan baharu itu diterbitkan secara rasmi dalam Warta Negara pada 9 Julai. – Bernama



