
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 38 kejadian kebakaran hutan dan tanah direkodkan di Kalimantan Tengah antara 1 Januari hingga 4 Mei tahun ini, dengan 180 titik panas dikesan manakala lebih 25 hektar tanah terbakar, menurut Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB).
Menurut BNPB, daerah Sukamara merekodkan kawasan terbesar yang terjejas dengan 6.90 hektar, diikuti Barito Utara dengan 4.01 hektar.
Kebakaran terbaharu dilaporkan di daerah Lamandau dan Kotawaringin Barat, masing-masing melibatkan kawasan seluas 0.5 hektar dan 1 hektar yang berjaya dipadamkan.
“Punca kebakaran ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa di setiap kawasan terlibat,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari dalam satu kenyataan pada hari ini.
Kalimantan Tengah merupakan satu daripada enam wilayah yang diberi keutamaan dalam pencegahan kebakaran hutan, selain Sumatera Selatan, Jambi, Riau, Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan.
BNPB menggesa kerajaan tempatan untuk untuk mengekalkan kesiapsiagaan dengan memastikan kelengkapan, kenderaan, anggota dan sumber kewangan yang mencukupi bagi mengurangkan risiko kejadian kebakaran.
Kerajaan Indonesia menubuhkan pasukan petugas khas pada 29 April, seperti diumumkan dalam acara ‘Kesiapsiagaan Kebakaran Hutan dan Tanah’ di Pekanbaru anjuran kerajaan pusat dan kerajaan wilayah Riau.
Pasukan petugas itu merangkumi kementerian dan agensi di semua peringkat bagi memberikan sokongan dalam menangani kebakaran hutan dan tanah, dengan tumpuan kepada pembiayaan, peralatan, logistik, pengurusan tanah dan penguatkuasaan undang-undang. – Bernama