BALI: Kapal perang Indonesia mengetuai pencarian kapal selam angkatan laut yang hilang dengan 53 kru kapal semasa sesi latihan biasa, ketika negara-negara lain menghantar kapal untuk membantu dalam misi itu, semalam.
Tumpahan minyak dari kapal selam itu yang dianggap menyebabkan ia tenggelam pada Rabu lalu menunjukkan kemungkinan kerosakan juga berlaku.
Walaupun KRI Nanggala 402 mungkin memiliki simpanan oksigen untuk beberapa hari, penganalisis pertahanan memberi amaran bahawa kapal itu dapat pecah jika kapal itu tenggelam hingga kedalaman yang diyakini sejauh 700 meter (2,300 kaki).
Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton mengatakan laporan awal menimbulkan prospek tragedi mengerikan.
Kapal selam buatan Jerman itu dijadualkan untuk melakukan latihan torpedo langsung ketika meminta izin untuk menyelam dan terputus hubungan tidak lama kemudian.
Jurucakap Angkatan Laut, Julius Widjojono mengatakan pasukan pencarian memfokuskan di kawasan tumpahan minyak di permukaan laut, tetapi lokasi tepat kapal itu belum dapat diketahui.
“Itu belum dijumpai,” kata Widjojono kepada AFP.
Enam kapal perang dan helikopter telah dihantar untuk mencari kapal selam itu, kata tentera laut.
Negara lain termasuk Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Jerman juga bertindak menghulurkan bantuan.
“Ini sangat menyedihkan bagi keluarga dan terutama bagi Angkatan Tentera Laut Indonesia,” kata Menteri Luar Australia, Marise Payne kepada penyiar ABC.
“Kami telah menyatakan bahawa kami akan membantu dengan sebaik mungkin.”
Sementara itu, Singapura dan Malaysia turut menghantar kapal yang dijangka tiba dalam beberapa termasuk MV Swift Rescue, sebuah kapal penyelamat kapal selam.
Tentera setakat ini enggan mengulas sama ada kapal selam itu yang membawa 53 anak kapal melebihi kemampuannya.
Pada Rabu laut, tentera laut mengatakan kapal selam itu mungkin tenggelam pada kedalaman yang tinggi.
“Ada kemungkinan… pemadaman berlaku sehingga kapal tidak dapat dikendalikan dan prosedur kecemasan tidak dapat dilancarkan dan ini menyebabkannya turun hingga 600 atau 700 meter ke dalam laut,” katanya.
Antoine Beaussant, seorang Timbalan Laksamana TenteraLlaut Perancis, mengatakan kapal selam itu tidak dibina untuk menahan kedalaman itu.
“Jika ia berhenti pada jarak 700 meter, kemungkinan ia akan pecah,” katanya kepada AFP.
Sementara itu, Setiausaha Institut Kapal Selam Australia, Frank Owen juga memberi amaran mengenai nasib kapal itu.
“Jika kapal selam berada di dasar laut dan jika berada di kedalaman air yang ada di sana, tidak banyak yang dapat mereka lakukan untuk benar-benar mengeluarkan mereka.
“Satu-satunya cara untuk mengeluarkan mereka ialah menyelamatkan kapal selam yang merupakan proses yang panjang.” katanya kepada media Australia. -AFP