JAKARTA: Indonesia sedang menumpukan masalah penyeludup dan dokumen perjalanan palsu untuk kegiatan mudik menjelang Aidilfitri yang boleh menyebabkan penularan Covid-19 terus melonjak di negara ini.
Ribuan penduduk dilihat sanggup menggunakan sebarang helah demi pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya tahun ini.
“Ini adalah waktu kritikal. Saya bimbang mereka yang bergerak ke rantau lain akan pulang bersama jangkitan dan segala usaha kita menjadi sia-sia,” kata ketua pasukan petugas mitigasi Covid-19 Indonesia, Doni Monardo.
Setiap tahun, berjuta-juta pengembara membanjiri lapangan terbang, stesen kereta api dan pelabuhan dalam amalan mudik besar-besaran sempena perayaan sama seperti ketika cuti Tahun Baharu Cina atau Krismas.
Bersandarkan kebimbangan terhadap bencana kesihatan awam, kerajaan pada bulan lalu menguatkuasakan larangan perjalanan udara dan laut domestik, selain mengadakan sekatan jalan raya untuk mengekang pergerakan.
Indonesia kemudian melonggarkan peraturan kerana dikhuatiri ia boleh melumpuhkan ekonomi terbesar Asia Tenggara ini, namun hanya untuk mereka yang terbukti bebas jangkitan wabak dan mempunyai alasan profesional untuk melakukan perjalanan.
Polis turut bergelut menangani penjualan dokumen perjalanan palsu melalui dalam talian dan yang diuar-uarkan dari mulut ke mulut.
Malah pada minggu lalu, pihak berkuasa di Bali menahan tujuh individu disyaki menjual dokumen palsu terbabit.
Pasar pula padat dengan pengunjung yang membeli-belah untuk persiapan menyambut Aidilfitri.
Pelanggaran ketetapan penjarakan sosial itu menyaksikan sebilangan pengguna media sosial meluahkan perasaan marah kerana kecewa dengan sikap penduduk yang mengingkari peraturan.
Namun, ia gagal menahan sebilangan individu yang dilaporkan sanggup menyorok di dalam kenderaan dan pengadun konkrit semata-mata untuk melepasi sekatan polis.
Menurut pihak berkuasa, mereka telah menahan ratusan pemandu yang menerima upah untuk menyeludup pengembara.
“Ada banyak tipu helah yang cuba digunakan oleh orang ramai ke atas polis. Kami bukan cuba menyusahkan hidup mereka. Ini semua bertujuan mengurangkan penularan Covid-19,” kata jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus.
Indonesia merekodkan lonjakan terbesar dalam tempoh sehari untuk kes Covid-19, minggu ini, dengan jumlah kematian telah mencecah 1,326 mangsa – tertinggi di luar China dalam rantau Asia.
Namun, jumlah jangkitan dan kematian dipercayai jauh lebih tinggi di Indonesia yang mempunyai lebih 260 juta penduduk dengan kadar ujian saringan antara yang terendah di dunia. – AFP