Individu pijak bendera Sarawak, UKPS mahu siasatan segera

Facebook
WhatsApp
PENGARAH UKPS, Abdul Wahab Rahim, membuat laporan itu di Balai Polis Gita, Kuching pada 1.49 petang hari ini.

KUCHING: Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) membuat laporan polis berhubung penularan video di media sosial TikTok yang memaparkan seorang individu memijak bendera Sarawak.

Pengarah UKPS, Abdul Wahab Rahim, membuat laporan itu di Balai Polis Gita, di sini pada 1.49 petang hari ini.

Menurut kenyataan media beliau, rakaman video berkenaan dikesan sekitar 10.00 pagi tadi selepas diterima menerusi aplikasi WhatsApp ketika berada di pejabatnya di Tingkat 6, Bangunan Baitul Makmur 2 (MASJA II), Petra Jaya.

TANGKAP layar video yang tular di media sosial TikTok memaparkan seorang individu didakwa memijak bendera Sarawak.

Beliau menyifatkan perbuatan individu terbabit sebagai amat tidak wajar dan biadap terhadap lambang kebanggaan Sarawak.

Katanya, tindakan berkenaan juga berpotensi mencetuskan kemarahan atau kegusaran awam dalam kalangan rakyat Sarawak yang dikhuatiri boleh menjejaskan keamanan.

“Sehubungan itu, pihak UKPS memohon pihak polis untuk menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang terlibat di bawah mana-mana perundangan yang berkenaan demi memelihara ketenteraman dan keharmonian Sarawak,” katanya.

UKPS menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.