
NEW DELHI: Syarikat penerbangan India, IndiGo, melanjutkan pembatalan penerbangan bagi empat laluan antarabangsa sehingga 28 Mac ini susulan ketegangan ketenteraan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).
IndiGo sebelum ini menggantung penerbangan ke Tbilisi, Almaty, Baku dan Tashkent sejak akhir Januari lalu sebelum pembatalan itu dilanjutkan sehingga 28 Februari.
“Pembatalan yang diumumkan sebelum ini dilanjutkan sehingga 28 Mac 2026. Keselamatan dan kesejahteraan pelanggan serta kru kami kekal menjadi keutamaan tertinggi. Kami terus memantau situasi semasa dan menyemak jadual penerbangan bagi meminimumkan kesulitan,” menurut kenyataan syarikat penerbangan itu menerusi hantaran di platform X, Isnin malam.
Menurut laporan agensi berita PTI, IndiGo dan Air India turut menghentikan penggunaan ruang udara Iran susulan perkembangan keselamatan di rantau berkenaan.
Ketegangan semakin meningkat dengan kehadiran tentera laut AS yang melibatkan sebuah kapal induk pesawat udara, tiga kapal pemusnah peluru berpandu serta puluhan pesawat, termasuk jet pejuang F-35.
Markas Pemerintah Pusat AS dalam satu hantaran berasingan di platform X memaklumkan bahawa sebuah kapal induk pesawat udara AS kini beroperasi di perairan antarabangsa di Timur Tengah dan melaksanakan operasi penerbangan sepanjang masa bagi menyokong keselamatan serantau.
Dalam perkembangan berkaitan, AS dilaporkan mengerahkan lebih banyak kapal serta puluhan pesawat perang berpangkalan di kapal induk, manakala Iran pula meningkatkan tahap kesiapsiagaan tenteranya termasuk mengadakan latihan ketenteraan di Selat Hormuz.
Tentera AS turut menghantar USS Gerald R. Ford, Kapal induk pesawat udara terbesar di dunia, bersama kapal pengiringnya ke kawasan berhampiran Iran. – Bernama