
Rakyat Pakistan meraikan gencatan senjata antara Pakistan dan India di Multan pada Sabtu. Foto AFP
NEW DELHI: India dan Pakistan pada Sabtu bersetuju untuk melaksanakan genjatan senjata selepas pertempuran tentera antara kedua-dua negara sejak beberapa hari lalu.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendedahkan kedua-dua negara bersetuju untuk melakukan gencatan senjata penuh dan serta-merta berikutan usaha pimpinan AS untuk menamatkan permusuhan mereka.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata, beliau dan Naib Presiden JD Vance berhubung dengan pegawai kanan India dan Pakistan, termasuk Perdana Menteri Narendra Modi dan Shehbaz Sharif, Ketua Turus Tentera Darat Pakistan Jeneral Syed Asim Munir, dan penasihat keselamatan negara Ajit Kumar Doval dan Leftenan Jeneral Muhammad Asim Malik.
“Saya gembira untuk mengumumkan Kerajaan India dan Pakistan bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan memulakan rundingan mengenai pelbagai isu di tempat berkecuali,” kata Rubio.
“Kami memuji Perdana Menteri Modi dan Sharif atas kebijaksanaan, kesederhanaan dan kecekapan negarawan mereka dalam memilih jalan keamanan,” tambahnya.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Pakistan Ishaq Dar dan Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar mengesahkan dalam hantaran di X bahawa gencatan senjata sudah dicapai.
“Pakistan sentiasa berusaha untuk keamanan dan keselamatan di rantau ini, tanpa menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayahnya,” kata Dar.
“India dan Pakistan hari ini mencapai persefahaman mengenai penghentian tembakan dan tindakan ketenteraan,” kata Jaishankar.
Perkembangan itu menyusul ketegangan dan konfrontasi selama berminggu-minggu yang mengancam untuk meningkat menjadi perang berskala penuh. – Bernama.