NEW DELHI: India menafikan tenteranya melintasi Garis Kawalan Sebenar (LAC) dan melepaskan tembakan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian dengan China di rantau Himalaya.
“Dalam apa jua keadaan Tentera India tidak melampaui LAC atau menggunakan kaedah agresif, termasuk menembak,” kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) sebelum ini menuduh askar India secara haram menyeberangi LAC dan melepaskan tembakan amaran ke atas tentera China berhampiran tebing selatan Tasik Pangong Tso di wilayah Ladakh pada Isnin lalu.
India menyifatkan kenyataan PLA itu “satu usaha untuk mengelirukan masyarakat tempatan dan antarabangsa.”
“Misalnya, pada 7 September 2020, pasukan PLA berusaha untuk menghampiri kedudukan kami di sepanjang LAC dan apabila anggota mereka sendiri memutuskan untuk tidak melakukan, PLA melepaskan beberapa tembakan amaran dalam usaha menakut-nakutkan tentera sendiri,” kata kenyataan India itu, sambil menambah tenteranya “komited untuk menjaga keamanan dan ketenangan” di sepanjang sempadan.
Kementerian Pertahanan India menuduh China, berikutan peningkatan ketegangan di wilayah timur Ladakh sambil menegaskan Tentera India tidak melakukan tindakan agresif dan komited untuk melindungi kedaulatan negara.
Terdahulu, sumber Tentera India memberitahu Sputnik, askar kedua-dua negara berbalas tembakan amaran di sepanjang Garis Kawalan Sebenar (LAC) pada Isnin malam.
“India…komited untuk meredakan ketegangan di LAC, sebaliknya China terus melakukan provokatif. Dalam apa jua keadaan Tentera lndia tidak melampaui LAC atau menggunakan cara yang agresif,” kata Kementerian Pertahanan India.
Menurut tentera India, pasukan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) membuat percubaan untuk “mendekati satu daripada posisinya di sepanjang LAC” pada Isnin, tetapi dapat dihalang.
Sebelum ini, tentera India dan China berbalas tembakan amaran di sepanjang Garis Kawalan Sebenar (LAC) di wilayah Ladakh, sumber Tentera India memberitahu Sputnik.
Kejadian itu berlaku berhampiran Tasik Pangong (Pangong Tso) di timur Ladakh pada Isnin malam.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan China Wei Fenghe dan rakan sejawatannya dari India, Rajnath Singh, menyeru pertikaian sempadan itu diselesaikan secara damai.
Kedua-dua pemimpin itu berkata demikian semasa menghadiri mesyuarat menteri pertahanan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang berlangsung di Moscow.
Ketegangan sempadan antara India dan China baru-baru ini semakin meningkat akibat pertempuran antara pasukan negara di sepanjang LAC.-Bernama