
NEW DELHI: India telah mengurangkan cukai bahan api bagi petrol dan diesel untuk mengimbangi harga domestik ketika syarikat tenaga berdepan kos import yang meningkat di tengah-tengah lonjakan harga minyak mentah global.
Duti eksais bagi petrol telah dikurangkan daripada 13 rupee (RM0.55) kepada tiga rupee (RM0.13) seliter, manakala duti diesel dikurangkan kepada sifar daripada 10 rupee (RM0.42) seliter, menurut pemberitahuan Kementerian Kewangan.
Menteri Petroleum Hardeep Singh Puri berkata langkah itu akan memberi “kesan besar” kepada hasil kerajaan tetapi membantu menampung “kerugian yang sangat tinggi” yang dihadapi oleh syarikat minyak, yang dianggarkan sekitar 24 rupee (RM1.02) seliter untuk petrol dan 30 rupee (RM1.27) seliter untuk diesel.
“Pada masa yang sama, cukai eksport telah dikenakan memandangkan harga antarabangsa bagi petrol dan diesel melonjak tinggi, dan mana-mana kilang penapis yang mengeksport ke pasaran luar negara perlu membayar cukai tersebut,” katanya dalam satu hantaran di X.
India, pengguna minyak ketiga terbesar di dunia, sedang berusaha untuk memastikan pasaran runcit tenaganya stabil di tengah-tengah kebimbangan yang meningkat terhadap bekalan berikutan pergolakan tenaga global yang dicetuskan oleh perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran.
Harga minyak mentah antarabangsa telah meningkat daripada sekitar AS$70 setong kepada sekitar AS$122 setong dalam tempoh sebulan, kata menteri minyak India itu.
Sektor minyak dan gas di wilayah Teluk sedang terjejas akibat impak serangan AS dan Israel ke atas Iran serta tindakan balas oleh Iran.
Lalu lintas perkapalan melalui Selat Hormuz, iaitu laluan utama tenaga yang kritikal di sepanjang pantai selatan Iran, telah merosot secara mendadak berikutan gangguan dan sekatan ke atas kapal yang mempunyai kaitan dengan negara tertentu.
Meskipun dalam keadaan tidak menentu, India mempunyai rizab minyak mentah yang mencukupi untuk memenuhi permintaan selama kira-kira 60 hari, menurut Kementerian Petroleum.
Beberapa tempat di India telah menyaksikan pembelian panik petrol susulan khabar angin mengenai kekurangan bekalan, manakala kerajaan menyatakan ia sedang menangani permintaan gas memasak dengan meningkatkan pengeluaran gas petroleum cecair (LPG) serta membanteras aktiviti sorok dan perdagangan haram silinder gas.
Pengguna domestik diberi keutamaan berbanding pengguna komersial dalam bekalan LPG.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan bahawa tiada kekurangan bekalan LPG berlaku.
“Selain daripada pengeluaran domestik, sebanyak 800 TMT (ribu metrik tan) kargo LPG yang dijamin telah pun diperoleh dan dalam perjalanan dari AS, Rusia, Australia, dan negara lain,” menurut Kementerian Petroleum pada Khamis. – Bernama