
KUALA LUMPUR: Kerajaan India sedang berusaha mempermudah prosedur permohonan status Overseas Citizen of India (OCI) bagi masyarakat India di Malaysia, susulan pengiktirafan bahawa keperluan dokumentasi masih menjadi cabaran utama kepada pemohon.
Dalam wawancara eksklusif bersama Bernama, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy berkata suruhanjaya menyedari ramai pemohon berdepan kesukaran untuk mengemukakan bukti asal usul keturunan, khususnya disebabkan faktor sejarah penghijrahan dan kehilangan dokumen dari semasa ke semasa.
“Sebelum status OCI diluluskan, individu perlu mengemukakan dokumen yang membuktikan asal usul keturunan India sehingga generasi ketiga.
“Cabaran utama ialah banyak dokumen tidak lagi wujud kerana mereka yang berhijrah ke sini semasa era penjajahan British tidak menyimpan rekod itu dan sebahagiannya pula hilang semasa zaman peperangan,” katanya.
Reddy berkata pihak Suruhanjaya Tinggi India telah berunding dengan kerajaan India agar dokumen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Malaysia atau pentadbiran kolonial British dahulu turut diterima sebagai bukti sokongan permohonan OCI.
“Kami berusaha mendapatkan persetujuan kerajaan agar dokumen yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia atau bekas pentadbiran Malaya boleh diterima.
“Jika sesebuah dokumen mengenal pasti India sebagai negara asal, kami boleh meluluskan kad OCI,” jelasnya.
Beliau berkata, setakat ini kira-kira 100,000 daripada lebih dua juta masyarakat India di Malaysia memegang kad OCI.
Status OCI membolehkan warganegara asing berketurunan India untuk melancong ke India tanpa visa dan menikmati beberapa keistimewaan, termasuk hak memiliki hartanah tertakluk kepada syarat tertentu, namun ia tidak membawa kepada pemberian kewarganegaraan.– Bernama