
MUKAH: Indeks jenayah di sini mencatatkan penurunan sebanyak 11.21 peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias.
Beliau berkata, sebanyak 190 kes jenayah dilaporkan dalam tempoh tersebut berbanding 214 kes pada tahun sebelumnya sekali gus menunjukkan keberkesanan usaha pencegahan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pasukan polis daerah itu.
“Ini adalah petanda positif bahawa langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang diambil membuahkan hasil,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah bagi bulan Oktober 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Mukah berjaya membuat enam tangkapan melibatkan sembilan suspek dalam kes kecurian kabel dan transformer sepanjang tahun ini.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan siasatan jenayah yang bertindak pantas sehingga berjaya menghasilkan keputusan positif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah mencatatkan sebanyak 233 tangkapan berkaitan kes dadah dari Januari hingga Oktober tahun ini, dengan jumlah rampasan 157.28 gram dadah jenis methamphetamine.
“Sebanyak 12 kes telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 39C(1) dan Seksyen 39C(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala lapan pertuduhan telah dijatuhkan hukuman penjara antara lima hingga 13 tahun serta sebatan antara satu hingga enam kali,” katanya.

Muhamad Rizal berkata, kejayaan tersebut menunjukkan komitmen berterusan polis bukan sahaja terhadap pengguna dan pengedar dadah tetapi juga dalam memutuskan rangkaian bekalan di peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, jenayah komersial di Daerah Mukah turut menunjukkan penurunan sebanyak 8.25 peratus, dengan 100 kes dilaporkan sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 109 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Sebanyak 62 tangkapan berjaya dibuat sepanjang tahun ini hasil kerjasama strategik antara Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, pasukan risikan serta bantuan masyarakat yang peka terhadap keselamatan komuniti,” katanya sambil menegaskan agar momentum itu dikekalkan.
Pada majlis yang sama, seramai 37 pegawai kanan, anggota dan pegawai awam menerima sijil penghargaan daripada bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata yang disampaikan oleh Muhamad Rizal sebagai tanda pengiktirafan terhadap komitmen dan dedikasi mereka.
“Penghargaan ini wajar dijadikan pembakar semangat untuk terus cemerlang dalam perkhidmatan,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting