
SARATOK: Keberkesanan operasi pencegahan jenayah yang dilaksanakan secara berterusan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok sepanjang tahun lalu membuahkan hasil positif apabila daerah itu merekodkan penurunan ketara indeks jenayah.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata statistik jenayah bagi 2025 menunjukkan penurunan sebanyak 17 kes atau 24 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus memperlihatkan keberkesanan strategi dan pendekatan penguatkuasaan yang digerakkan pihak polis.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Saratok bagi bulan Januari 2026 yang berlangsung pagi tadi, sambil menegaskan kejayaan tersebut adalah hasil komitmen tinggi dan kerja keras seluruh warga IPD Saratok.
“Pencapaian ini membuktikan setiap pegawai dan anggota sentiasa memberikan komitmen penuh, bekerjasama serta serius dalam menangani isu jenayah demi memastikan masyarakat di daerah ini berasa selamat dan dilindungi,” katanya.
Dalam pada itu, DSP Mathew turut memaklumkan kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Saratok dalam memerangi penyalahgunaan dadah, yang disifatkan sebagai musuh nombor satu negara, sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, seramai 116 individu berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah sepanjang tahun 2025, dengan lebih 50 peratus tangkapan dibuat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tegasnya, pihak polis tidak akan berkompromi dan akan terus memperhebatkan risikan serta operasi bagi membanteras masalah dadah secara menyeluruh.
Mengulas hala tuju 2026, beliau menyeru seluruh warga IPD Saratok supaya terus mengekalkan tahap disiplin dan integriti yang tinggi, peka terhadap isu semasa termasuk perkembangan politik dan ekonomi setempat, serta kekal proaktif dalam melaksanakan usaha pencegahan dan penguatkuasaan jenayah secara bersepadu.
Pada majlis sama, DSP Mathew turut menyampaikan sijil penghargaan Ketua Polis Daerah kepada dua pegawai kanan, lima anggota polis dan tiga pegawai awam atas perkhidmatan cemerlang mereka, dengan harapan pengiktirafan itu dapat menjadi pemangkin semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.
Oleh Adi Safarman