SEJAK zaman dahulu, tudung saji digunakan untuk menutup makanan yang telah siap dimasak bagi menghindari lalat atau kotoran lain.
Dahulu, tudung saji atau penyungkup makanan diperbuat daripada anyaman daun mengkuang,rotan dan sebagainya.
Selaras dengan perkembangan moden pada masa kini, pelbagai jenis dan corak tudung saji berada di pasaran dan kebanyakannya diperbuat daripada plastik.
Kini, mereka yang kreatif sudah mula menjadikan tudung saji plastik ini sebagai barang hiasan yang menarik di dalam rumah.
Tudung saji ini dihias semula dan terhasillah karya kreatif dan cantik yang dikenali sebagai Tudung Saji Sulaman Riben.
Tudung saji sulaman riben untuk dijual mula dimuatnaik di laman sosial seperti Facebook sejak tahun 2013, namun belum mendapat sambutan pada masa itu.
Dengan kuasa viral yang telah menguasai dunia maya masa kini, penghasilan tudung saji sulaman riben mula mendapat perhatian dari netizen-netizen yang ingin membeli dan ada yang menjadikan ia sebagai inspirasi untuk menghasilkan tudung saji sulaman riben buatan tangan sendiri.
Utusan Sarawak telah menemubual seorang surirumah yang turut menghasilkan tudung saji sulaman riben.
So Akien, berusia 51 tahun dari Taman Susur Jambu, Sarikei merupakan seorang yang kreatif dalam menghasilkan pelbagai kraftangan.
Bagi mengisi masa lapangnya, So menghasilkan pelbagai kraftangan yang menarik.
Katanya, dia mula belajar menganyam tudung saji menggunakan riben pada 3 tahun lalu.
“Saya mula berminat menganyam tudung saji plastik menggunakan riben setelah balik dari rumah rakan saya.
“Dia ada menunjukkan saya pelbagai tudung saji anyaman riben dan ia benar-benar telah memikat hati saya.
“Oleh kerana minat yang mendalam menghasilkan kraftangan, saya mencuba menganyam tudung saji plastik di rumah dan ia berhasil,” katanya.
Ujarnya, kini pelbagai corak boleh dianyam di tudung saji plastik yang sesuai.
“Bagi menghasilkan corak ditudung saji plastik, pemilihan tudung saji yang sesuai adalah perlu dilakukan terlebuh dahulu.
“Terpulang pada kita sendiri sama ada ingin menganyam riben di tudung saji ya g besar, sederhana atau kecil.
“Bagi yang mula berjinak-jinak dengan kraftangan ini, saya sarankan guna tudung saji plastik yang kecil dulu,” ujarnya.
Katanya, tudung saji sulaman riben yang telah siap dianyamnya dijadikan hiasan di dalam bilik keluarganya di rumah panjang.
“Saya baru mula menganyam tudung saji sulaman riben di rumah sewa saya di pasar ini selepas mendapat permintaan dari anak-anak saudara saya.
“Di sini saya tidak mempunyai koleksi tudung saji sulaman riben yang telah siap.
“Tudung saji sulaman riben yang saya anyam di sini semuanya diserahkan kepada anak-anak saudara dan kawan-kawan saya berminat dengan kraftangan ini,” katanya lagi.
Jelas So, dia tidak menjual tudung saji sulaman riben yang dihasilkannya.
“Saya cuma minta anak-anak saudara dan kawan-kawan saya sediakan tudung saji plastik, riben, benang dan gam untuk menghasilkan tudung saji sulaman riben.
“Namun mereka tetap menghulurkan wang sebagai upah menganyam tudung saji sulaman riben.
“Saya anggap ia sebagai rezeki yang datang untuk keluarga saya,” katanya.
Tambahnya, dia memerlukan masa sekurangnya tiga hingga lima hari untuk menghasilkan kraftangan tudung saji sulaman riben ini, bergantung kepada masa lapangnya.
“Sebagai suri rumah sepenuh masa, saya perlu bijak membahagikan masa untuk diri dan keluarga.
“Oleh itu, pada masa luang saya mempunyai peluang untuk menghasilkan kraftangan sama ada krafttangan manik atau menganyam tudung saji sulaman riben.
“Corak anyaman di tudung saji, saya menggunakan corak sulaman benang, yang penting tudung saji plastik mempunyai corak yang sesuai untuk disatukan dengan corak sulaman tangan,” ujar So.