BEBERAPA bulan sebelum pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyatakan bahawa akan dicadangkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menilai semula pendirian negeri di bawah mereka agar menghabiskan penggal sebelum membuat pilihan raya.
PH perlu serentak mengadakan pilihan raya bagi Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan jika pilihan raya umum diadakan pada November.
Lim Guang Eng juga mempunyai pendirian sama. Namun apabila Parlimen dibubar baru-baru ini, terdapat keputusan bahawa pilihan raya negeri dan pusat di negeri Pakatan Harapan akan diadakan secara berasingan. Namun keputusan ini tidak mengembirakan semua negeri terbabit. Pulau Pinang misalnya masih mahu timbang tara semula agar dibenarkan diadakan serentak.
Negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah juga membuat keputusan bahawa pilihan raya negeri akan diadakan berasingan. Alasan yang diberikan untuk fokus kepada isu banjir yang dijangka berlaku pada hujung tahun ini.
Naratif banjir
Kebanyakan pihak yang membantah pilihan raya diadakan pada masa kini ialah faktor banjir. Bagi mereka perlu fokus kepada banjir yang melanda negara. Namun nararif ini boleh diperdebatkan kerana sebelum ini pernah pilihan raya diadakan pada musim tengkujuh. Misalnya, pilihan raya umum 1999, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pilihan raya umum dan diadakan pada Isnin, 29 November 1999.
Hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pula ialah 18 Disember 2021 manakala pilihan raya negeri Melaka tahun lalu juga diadakan pada 20 November. Ketika itu, isu banjir tidak pula dijadikan alasan penolakan terhadap pilihan raya. Sebaliknya, isu yang digunakan ketika itu, kononnya terdapat ancaman Covid-19 yang membahayakan pengundi yang turun mengundi. Namun sepanjang pilihan raya itu, kes covid tidak meningkat.
Persediaan menghadapi banjir sudah lama dibuat kerana musim banjir bukan sahaja berlaku pada musim tengkujuh, akan tetapi pada bulan-bulan biasa, banjir juga boleh berlaku di mana-mana juga. Misalnya banjir Baling berlaku pada Ogos tanpa menunggu hujung tahun.
Kesiapsiagaan
Dalam pengurusan bencana, keselamatan dan kesihatan, pihak agensi kerajaan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Setiap agensi seperti Jabatan Meteorologi Malayasia (MetMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) mempunyai mekanisme tersusun dalam mengatur, merancang dan bertindak proaktif.
Pengurusan bencana sudah menjadi darah daging mereka dalam melakukan persediaan dan tindakan. Begitu juga pengalaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengurus pilihan raya sudah lama terbukti berjaya melaksanakan tugas mereka tanpa mengira musim atau situasi yang melanda negara.
Implikasi pilihan raya berasingan
Pilihan raya berasingan akan menyebabkan pengundi berasa sukar untuk kembali mengundi. Misalnya pengundi di kawasan Parlimen Port Dickson memikirkan beberapa kali apabila terpaksa mengundi di DUN Sri Tanjung dan DUN Bagan Pinang. Lebih-lebih lagi sekiranya pengundi tersebut tinggal jauh dari Port Dickson.
Ternyata agak sukar untuk rakyat keluar mengundi sebanyak dua kali yang sebenarnya boleh dielakkan dengan mengadakan pilihan raya secara serentak. Jika mereka datang mengundi sekali lagi akan menambahkan lagi masa dan kos pengangkutan rakyat.
Sekiranya undi yang mereka beri sama ada kalah atau menang juga menentukan faktor mereka untuk turun mengundi. Jika undi mereka sudah menang atau kalah di kerusi Parlimen, ada yang tidak mahu lagi turun mengundi di peringkat DUN.
Jika parti itu kalah di peringkat Parlimen, terdapat kecenderungan yang sama berlaku jika diadakan di peringkat negeri. Maka, mood penyokong mereka untuk mengundi juga akan hilang. Terpaksa pula, yang kalah buat manifesto baru untuk yakinkan di peringkat negeri.
Di satu sisi agak ironi, kononnya pilihan raya kali ini untuk menghukum musuh politik mereka yang mahukan pilihan raya lebih awal. Namun tindak-tanduk mereka yang hanya mahu diadakan di peringkat Parlimen dan menolak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) mengundang pelbagai persoalan dan tafsiran.
Pertama, tindakan mereka untuk menghukum itu hanya separuh jalan, sepatutnya di peringkat DUN dan Parlimen perlu serentak bagi bertindak balas. Yang kedua, tindakan ini hanya akan mengakibatkan kos pilihan raya meningkat. Hal ini kerana apabila pilihan raya tidak serentak diadakan dan kemudian diasingkan, akan menyebabkan beban kos tidak dapat dapat dielakkan.
Sebelum ini, kelompok mereka juga yang membina naratif pembaziran kos pilihan raya. Sikap dan tindak-tanduk ini boleh menjejaskan kepercayaan pengundi terhadap negeri-negeri di bawah kerajaan negeri Kelantan dan Pakatan Harapan.
Realiti sebenar
Sebenarnya tindakan mengasingkan pilihan raya tidak lebih sebagai langkah taktikal atau strategi tertentu. Yang pertama, ialah parti PAS dan blok PH kurang bersedia untuk berdepan Barisan Nasional (BN). Mereka memerlukan masa untuk mengukuhkan kedudukan parti mereka dan cuba meningkatkan populariti.
Sebelum ini, kerajaan PH sering dikritik dengan isu kerajaan yang hanya bertahan selama 22 bulan. Pelbagai persepsi berlaku terhadap PH disebabkan Mahathir tidak menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Begitu juga manifesto PH yang paling banyak dikritik kerana banyak tidak ditunaikan dan baru disedari tidak mampu ditunaikan. Manifesto itu dilihat semata-mata untuk menarik undi sahaja. Maka, untuk menghasilkan manifesto baharu dan lebih realistik merupakan cabaran besar.
Hal ini memerlukan kajian dan penelitian lebih mendalam, dan diyakini oleh pengundi mereka terdahulu. Kemungkinan mereka pula dihukum akibat manifesto terdahulu, akan berlaku. Namun mereka perlu mencari naratif yang lebih meyakinkan dalam konteks manifesto dan strategi menarik semula undi mereka yang kebanyakan pada pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri, ramai yang tidak turun mengundi akibat protes senyap mereka.
Strategi parti
Strategi melakukan pengasingan pilihan raya adalah untuk memfokuskan peringkat Parlimen terlebih dahulu sementara kerajaan negeri boleh membantu dari segi mekanisme kuasa dan jentera. Hal ini kerana mereka mahu kerajaan negeri yang masih tidak bubar boleh membantu secara tidak langsung daripada pelbagai aspek.
Misalnya membuat pengumuman mengenai projek-projek rakyat bagi kawasan yang dianggap kawasan kelabu dan hitam. Begitu juga peranan kedudukan exco dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan dapat membantu melancar, melicinkan urusan berkaitan jentera-jentera yang berkaitan untuk digerakkan secara tidak langsung.
Kesemua ini berlaku kerana negeri-negeri tersebut bimbang akan risiko kekalahan. Jika diadakan serentak dan tiba-tiba kalah, maka mereka akan kalah semua. Maka, hal ini menyebabkan mereka lebih berhati-hati bagi mengelak risiko besar. Baki penggal tempoh dewan undangan negeri dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk mengukuhkan kedudukan parti mereka.
Dengan kata, lain, negeri-negeri dijadikan sebagai insurans politik sekiranya kalah di peringkat Parlimen. Tanpa mereka menyedari langkah taktikal dan strategi politik ini memanjangkan lagi konflik politik yang boleh menjerat mereka sendiri.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)