Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Implikasi apabila penerbangan kerap lewat
  • KOLUMNIS

Implikasi apabila penerbangan kerap lewat

Utusan Sarawak 1 week ago

DI sebalik kemarahan dan ketidakpuasan hati penumpang akibat kelewatan atau pembatalan penerbangan, syarikat penerbangan tetap berdepan implikasi tertentu meskipun tiada aduan rasmi dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Selain risiko reputasi yang terjejas, syarikat penerbangan terbabit turut berpotensi kehilangan Hak Trafik Udara (ATR) pada masa hadapan.

Hal ini disebabkan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ada menetapkan metrik utama untuk menilai kecekapan dan kebolehpercayaan syarikat penerbangan iaitu Prestasi Tepat Masa (OTP).

Pencapaian OTP yang konsisten di bawah sasaran bukan sahaja menggambarkan masalah operasi, malah boleh dijadikan asas oleh CAAM bagi menilai semula kelayakan syarikat penerbangan tersebut untuk memegang laluan trafik udara yang baharu atau sedia ada.

OTP merujuk kepada peratusan penerbangan yang berlepas pada waktu pelepasan yang dijadualkan (STD) atau dalam julat 15 minit selepas STD.

Bagi laluan domestik, CAAM telah menetapkan sasaran OTP pada tahap 85 peratus. Nilai ini menjadi piawaian bagi semua syarikat penerbangan di negara ini.

Maka dengan itu, penerbangan yang dijadualkan semula selama lebih daripada 15 minit dalam tempoh 24 jam dari STD akan dilaporkan sebagai kelewatan penerbangan.

Selain itu, CAAM juga menetapkan syarikat penerbangan mesti mengendalikan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada penerbangan berjadual mereka pada setiap bulan dan pembatalan penerbangan tidak dibenarkan melebihi 20 peratus.

Penerbangan yang dikendalikan merujuk kepada bilangan penerbangan yang berjaya dilaksanakan berbanding jumlah yang dijadualkan manakala pembatalan penerbangan pula merujuk kepada bilangan penerbangan yang dijadualkan tetapi dibatalkan oleh syarikat penerbangan.

Berdasarkan data OTP yang disediakan oleh CAAM, purata prestasi syarikat penerbangan berdaftar di Malaysia dalam tempoh separuh tahun pertama 2025 menunjukkan Firefly adalah yang paling konsisten dan mencatat prestasi tertinggi dengan sering melebihi 90 peratus  untuk penerbangan yang berlepas dari semua lapangan terbang domestik berkaitan.

Seterusnya MASwings yang juga menunjukkan prestasi sangat baik dan konsisten iaitu sentiasa berada di atas 85 peratus. Bagi Malaysia Airlines pula, prestasinya menunjukkan pemulihan yang positif dengan pencapaian tertinggi pada Mac iaitu 88 peratus dan stabil sekitar 81-84 peratus sejak April hingga Jun.

MASwings juga menunjukkan prestasi sangat baik dan konsisten iaitu sentiasa berada di atas 85 peratus.

Namun bagi Batik Air, prestasi agak kurang memberangsangkan kerana kekal pada lingkungan sekitar pertengahan 70 peratus kecuali ada lonjakan OTP pada Mac iaitu 87 peratus.

Prestasi AirAsia setakat ini mencatatkan pencapaian terendah iaitu 68 peratus pada Februari dan pencapaian terbaik pun hanya setinggi 81 peratus pada Mei. Prestasi OTP pada bulan lain berkitar dalam 70-80 peratus.

Kejayaan Firefly dan MASwings dalam mengekalkan OTP yang konsisten banyak disumbangkan oleh ekosistem operasi yang terkawal dan strategik iaitu beroperasi di lapangan terbang sekunder dan pedalaman.

Lapangan terbang seperti Subang Skypark (Firefly) dan destinasi pedalaman di Sabah dan Sarawak (MASwings) menawarkan rantaian operasi darat yang lebih ringkas serta trafik udara yang kurang padat.

FIREFLY adalah yang paling konsisten dan mencatat prestasi tertinggi dengan sering melebihi 90 peratus untuk penerbangan yang berlepas dari semua lapangan terbang domestik berkaitan.

Keadaan ini membolehkan pengurusan pergerakan pesawat dan proses pengendalian di darat dijalankan dengan lebih cekap dan teratur.

Dengan mengurangkan risiko kelewatan akibat kesesakan di landasan serta kelancaran proses keluar masuk di pintu pesawat atau pusat kawalan trafik udara, kedua-dua syarikat dapat memastikan giliran pesawat berlepas berlaku dengan lebih pantas dan tepat pada waktunya.

Sebaliknya, kelewatan yang dialami AirAsia dan Batik Air boleh berpunca daripada interaksi kompleks melibatkan beban operasi pengendali ditambah dengan kekangan infrastruktur lapangan terbang dan kecekapan operasi darat.

Beban operasi pengendali antaranya melibatkan pengurusan jadual penerbangan yang ketat. Model perniagaan berasaskan kadar penggunaan yang tinggi menuntut masa pusing balik pesawat yang singkat.

Oleh itu, jadual padat terutamanya pada masa puncak iaitu pada waktu subuh dan petang, jika ada sedikit kelewatan pun akan mencetuskan kesan domino ke penerbangan seterusnya.

Faktor teknikal seperti kerosakan tidak dijangka atau penyelenggaraan yang melangkaui jadual turut menyumbang kepada kelewatan penerbangan, terutamanya apabila jumlah pesawat yang tersedia tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi.

Isu-isu lain yang berkaitan adalah kekurangan juruterbang dan kru penerbangan termasuk had masa tugas, ketiadaan kru simpanan untuk mengganti, ketidakhadiran yang mendadak serta jadual giliran yang terlalu rapat turut menjadi pencetus masalah kelewatan dan pembatalan pada saat akhir penerbangan.

Infrastruktur lapangan terbang juga memainkan peranan penting. Faktor seperti jenis parkir pesawat sama ada jambatan udara atau apron, laluan pesawat (taxiway) yang panjang, penggunaan satu landasan serta kelewatan penundaan keluar (pushback) pada waktu puncak turut menyumbang kepada kelewatan.

Di terminal, kelewatan sering berpunca daripada ketidakmampuan sistem pengendalian bagasi dan peralatan sokongan darat seperti penunda pesawat atau lori tangki bahan api untuk menampung jumlah pesawat yang perlu dilayan dalam jumlah banyak secara serentak.

Selain isu operasi dalaman, OTP domestik di Malaysia turut dipengaruhi secara langsung oleh faktor cuaca dan persekitaran yang tidak menentu.

Gangguan paling ketara berlaku semasa musim tengkujuh, lazimnya antara November hingga Januari, apabila hujan lebat, angin kencang dan ribut petir kerap melanda.

Dalam keadaan ini, pihak kawalan trafik udara terpaksa mengurangkan kadar pergerakan pesawat atau menangguhkan penerbangan atas faktor keselamatan, sekali gus mencetuskan kelewatan yang meluas.

Jerebu juga merupakan ancaman serius. Apabila kebolehlihatan jatuh di bawah paras selamat yang ditetapkan, penerbangan perlu ditangguhkan atau dilencongkan ke destinasi alternatif seterusnya akan menjejaskan jadual dan kapasiti operasi.

Selain itu, munculnya awan kumulonimbus iaitu awan ribut besar dan tebal yang biasanya terbentuk di kawasan tropika akan memaksa juruterbang untuk mengubah laluan penerbangan bagi mengelak gelora udara teruk.

Tindakan ini bukan sahaja menambah masa penerbangan, malah mengganggu aliran trafik udara di ruang udara yang sibuk.

Bagi penumpang, ketepatan masa merupakan elemen kritikal, khususnya bagi mereka yang melakukan perjalanan perniagaan atau mempunyai sambungan penerbangan ke destinasi lain.

Sebarang kelewatan boleh mencetuskan kesan rantaian yang menyusahkan apabila penumpang terlepas penerbangan sambungan atau jadual mesyuarat yang telah ditetapkan.

Hal ini pastinya akan menambah kos perbelanjaan untuk penempahan semula tiket atau penginapan selain kesukaran untuk menetapkan semula jadual mesyuarat serta tekanan emosi yang tidak diingini.

Namun, sebenarnya bagi pihak syarikat penerbangan, mereka seboleh-bolehnya mengejar OTP agar mendapat 100 peratus kerana pencapaian ini akan dapat membantu mengurangkan kos operasi seperti perbelanjaan bahan api akibat pusingan menunggu di udara, kos pampasan untuk penumpang terjejas dan kos penginapan jika penerbangan dibatalkan.

Di samping itu, OTP yang baik juga meningkatkan kepuasan pelanggan dan memperkukuh reputasi syarikat penerbangan dalam pasaran yang sangat kompetitif.

Maklumat OTP bagi setiap syarikat penerbangan ini tersedia untuk orang awam melalui laman sesawang rasmi CAAM. Penumpang boleh menilai sendiri data ini bagi membuat keputusan perjalanan yang lebih tepat dan bermakna.

Di sini, pengguna disarankan mempertimbangkan beberapa perkara iaitu meneliti trend prestasi syarikat penerbangan tersebut sepanjang beberapa bulan, bukan sekadar bergantung kepada data satu bulan.

Hal ini adalah bagi mendapatkan gambaran yang lebih sahih tentang tahap konsistensi mereka.

Walaupun OTP merupakan indikator utama, ia bukan satu-satunya faktor yang perlu diambil kira kerana aspek lain seperti harga tiket, keselesaan kabin, kualiti perkhidmatan dan rangkaian destinasi turut memainkan peranan penting dalam membuat pilihan yang seimbang.

Selain itu, pengguna juga perlu sedar bahawa OTP boleh berubah mengikut musim. Bagi bulan-bulan tertentu seperti musim perayaan dan musim tengkujuh, kebiasaannya akan mencatatkan kadar kelewatan yang lebih tinggi akibat peningkatan trafik dan gangguan cuaca.

Begitu juga, sekiranya penumpang ingin membuat aduan berkaitan kelewatan atau pembatalan penerbangan, mereka boleh mengisi borang aduan yang disediakan di laman sesawang FlySmart, sebuah platform yang dikendalikan di bawah seliaan CAAM.

Saluran ini membolehkan pengguna menyuarakan pengalaman mereka secara rasmi, sekali gus memperkukuh mekanisme akauntabiliti dalam industri penerbangan negara.

Apabila proses aduan diuruskan dengan baik, kemarahan dan ketidakpuasan hati dapat disantuni secara berhemah melalui ruang untuk penilaian objektif dan tindakan susulan yang adil.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi suara kepada pengguna tetapi juga mendorong penambahbaikan berterusan dalam mutu perkhidmatan syarikat penerbangan.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: PRN: Undi belia simbol harapan masa depan
Next: Minggu Perpaduan Kebangsaan 1964, bukti rakyat tolak Indonesia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.