SARATOK: Impian dan harapan sekian lama penduduk di tiga buah rumah panjang kawasan Entebu di sini akhirnya menjadi kenyataan selepas projek menaik taraf jalan pertanian dan akses ke tapak perkuburan berjaya disiapkan sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, tarikh semalam melakar momen yang amat bersejarah buat komuniti di Rumah Anau, Rumah David dan Rumah Bangsa selepas kemudahan asas yang diidamkan kini sedia untuk digunakan.
Permohonan projek yang dikemukakan oleh penduduk setempat pada tahun 2025 itu telah merealisasikan keselesaan perhubungan darat, sekali gus menamatkan kesukaran yang dihadapi mereka selama ini terutama ketika mengusahakan hasil tani.
Menurutnya, projek itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk, malah memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat khususnya dalam mengakses kawasan pertanian dan tapak perkuburan.
“Semalam merupakan satu tarikh bersejarah buat penduduk di tiga buah rumah panjang iaitu Rumah Anau, Rumah David dan Rumah Bangsa kerana jalan pertanian dan jalan menuju ke kawasan tapak perkuburan yang dipohon pada tahun 2025 telah dinaik taraf dan siap sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan projek siap pembinaan jalan pertanian dan jalan menuju ke kawasan tapak perkuburan di kawasan Entebu, dekat sini semalam.
Mohamad Duri berkata, kerja-kerja naik taraf tersebut dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik menerusi proses tender yang diselia Jabatan Pertanian Bahagian Betong.
Katanya, pelaksanaan projek itu memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan asas di kawasan luar bandar turut diberi perhatian, terutama yang berkait rapat dengan keperluan harian masyarakat.
Dalam pada itu, kerja penambahbaikan jalan ladang di Rumah David Entebu dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), dengan Jabatan Pertanian Bahagian Betong bertindak sebagai agensi pelaksana.
“Program serah tapak projek siap telah disempurnakan oleh Tuai Rumah David bersama pihak kontraktor, Jabatan Pertanian Bahagian Betong sebagai agensi pelaksana dan wakil BDDA,” katanya.
Mohamad Duri berkata, projek bernilai RM212,310 itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan Entebu, Saratok, khususnya dalam memudahkan pergerakan keluar masuk serta meningkatkan akses ke kawasan pertanian.
Beliau berharap kemudahan yang telah siap itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penduduk serta membantu memperkukuh aktiviti pertanian dan kehidupan seharian masyarakat setempat.
“Projek seperti ini membuktikan bahawa pembangunan infrastruktur asas terus diberi keutamaan bagi memastikan penduduk di kawasan luar bandar menikmati kemudahan yang lebih baik, selamat dan selesa,” katanya.
Oleh Adi Safarman





