
SIMANGGANG: Pemenang pingat emas acara tinju yang mewakili Zon Barat, Mohd Zulkarnain Iswandy, 17, memasang impian besar untuk beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, satu cita-cita yang disimpannya sejak berusia 14 tahun.
Kejayaan manis itu diraih selepas Mohd Zulkarnain muncul satu-satunya petinju Zon Barat yang berjaya menghadiahkan pingat emas apabila menewaskan pencabar dari Zon Utara, Hyson Chrisley Sedie, dalam kategori 54 kilogram pada kejohanan tinju Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang berakhir, semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman itu membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk menggapai impian besar, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus melangkah lebih jauh dalam dunia sukan yang diceburinya.

Menurut Mohd Zulkarnain, minat terhadap sukan tinju bermula secara tidak sengaja ketika beliau berusia 14 tahun hasil dorongan seorang rakan sekolahnya, Muhammad Irfan Mohamad Ishak.
“Saya mula meminati sukan tinju ini sejak umur 14 tahun dan pada awalnya hanya sekadar mencuba hasil ajakan rakan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, hari ini.
Beliau mengakui tidak pernah menyangka keputusan untuk ‘mencuba-cuba’ itu akhirnya membuka ruang lebih besar apabila dipilih menyertai Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman untuk beraksi di beberapa kejohanan.

Sebagai anak bongsu daripada enam beradik, Mohd Zulkarnain menjadikan sokongan keluarga sebagai pembakar semangat untuk terus berlatih keras dan berdisiplin dalam setiap sesi latihan.
Di bawah bimbingan ketua jurulatih TBBC Sri Aman, Kamaruddin Mohamad, beliau semakin menyerlah dan menjadi antara tonggak penting kelab berkenaan dalam kejohanan-kejohanan yang disertai.
Antara pencapaian membanggakan Mohd Zulkarnain ialah pingat emas Kejohanan Tinju Bakat dan Remaja Peringkat Kebangsaan di Sibu, pingat emas Kejohanan Tinju ‘Twins Championship 103’, pingat perak Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi III 2024 serta pingat perak Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi ke-4 di Sri Aman.

Konsistensi prestasi itu turut membuahkan hasil apabila namanya tersenarai dalam kalangan 22 petinju terbaik Sarawak yang dipilih ke pemilihan akhir bagi mewakili Sarawak ke SUKMA XXII Selangor 2026 yang dijangka berlangsung pada April atau Jun tahun ini.
“Pada mulanya sasaran saya hanya untuk beraksi di peringkat SUKSAR sahaja,” katanya sambil mengakui terkejut apabila namanya diumumkan dalam senarai panjang ke SUKMA.

Beliau menyifatkan peluang tersebut sebagai detik paling bermakna dalam perjalanan kariernya dan berjanji tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan.
“Ini impian saya sejak berusia 14 tahun lagi. Saya mahu buktikan saya mampu pergi jauh dan bersaing di peringkat tertinggi,” ujarnya penuh tekad.
Mohd Zulkarnain turut menyimpan hasrat besar untuk mengharumkan nama Sri Aman serta membuktikan bahawa anak Sri Aman mampu melangkah jauh jika diberi peluang dan sokongan.
Oleh Adi Safarman