

MIRI: Seramai 102 individu ditahan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching menerusi pelaksanaan Operasi Gegar (OPS GEGAR) dan Operasi Sapu (OPS SAPU) yang dijalankan selama tiga hari, bermula 8 hingga 10 November, semalam.
Menurut Jambatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak hari ini, operasi bersepadu tersebut menumpukan pemeriksaan di beberapa premis hiburan terkemuka di Miri serta rumah pekerja kilang papan di Pekan Tatau, Bintulu.
“Pada operasi itu, sebanyak 145 individu, terdiri daripada warganegara dan warga asing telah diperiksa oleh pegawai penguat kuasa sepanjang operasi dijalankan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 102 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Semua tahanan akan melalui proses dokumentasi serta siasatan lanjut sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya kenyataan itu.


Tambahnya, selain itu, terdapat empat majikan turut diberikan notis hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan kerana disyaki menggajikan atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Pemeriksaan menyeluruh itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras aktiviti pelanggaran pas dan penyalahgunaan dokumen perjalanan.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya mereka yang terlibat dalam penggajian PATI.
“JIM komited memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara melalui penguatkuasaan berterusan,” jelasnya.
Justeru, Operasi seperti OPS GEGAR dan OPS SAPU akan diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh Sarawak bagi memastikan negeri ini bebas daripada kehadiran pendatang tanpa izin, tegasnya lagi.
Oleh Adum Liu