
SIBU: Seorang ejen insurans terkejut apabila melihat gambarnya digunakan untuk membuat akaun palsu di media sosial yang menyebarkan kandungan berunsur fitnah serta memalukan.
Mangsa, Yong Kah Kiong, 29, berkata, perbuatan seperti itu bukan sahaja mencemarkan namanya tetapi juga boleh menjejaskan reputasi serta kerjayanya.
“Saya bimbang dengan penyebaran kandungan ini kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada diri saya, malah turut menjejaskan ahli keluarga serta kenalan,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Pelawan, hari ini.
Berikutan kejadian itu, dia telah membuat dua laporan polis pada 11 dan 14 Mac lepas serta turut melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau turut mendapatkan bantuan daripada Pusat Khidmat Pelawan bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap individu yang bertanggungjawab.
Sementara itu, Kapitan Ling Hua Wei, yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang berkata bahawa pihaknya telah menghantar surat kepada polis berhubung kes tersebut.
Katanya, media sosial tidak seharusnya menjadi ‘zon tanpa undang-undang’ yang membolehkan buli siber berleluasa, sekali gus mencabuli hak peribadi individu serta mencemarkan kepercayaan masyarakat.
“Insiden seperti ini bukan kes terpencil. Ia menunjukkan trend berbahaya dalam penyalahgunaan platform digital, di mana individu berniat jahat mencipta akaun palsu, mencuri gambar, serta menyebarkan maklumat mengelirukan dan berbahaya,” kata beliau.
Beliau turut menggesa masyarakat agar lebih bertanggungjawab di alam maya dengan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menggalakkan keganasan siber.
“Saya menggesa agar mangsa penyalahgunaan identiti tampil membuat laporan dan mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa serta pertubuhan berkaitan.
“Jangan biarkan pelaku terlepas begitu sahaja. Kita perlu bersama-sama memperjuangkan keadilan dan memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” tegasnya.
OLEH AKUN GIMAN