
AWAL tahun biasanya membawa penurunan hujan yang tinggi di Sarawak. Hal ini sering berlaku hampir setiap tahun di Sarawak.
Fenomena ini jelas berlaku sekarang apabila hujan yang turun tanpa henti berturutan dari tahun lepas, berlanjutan hingga ke tahun ini.
Rekod terkini menunjukkan di Bahagian Kuching sahaja setakat 4 petang pada I Januari 2026 mangsa banjir meningkat kepada 791 orang daripada sebelah pagi iaitu 348 orang.
Kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan bahawa hujan ini akan berterusa. Amaran itu bukan sahaja di Kuching malah meliputi Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu dan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).
Pada masa sama, pihak kerajaan negeri menunjukkan kesungguhan untuk membantu mangsa-mangsa banjir ini. Antara usaha dilakukan adalah membuka pusat pemindahan sementara (PPS).

Banjir
Mengimbau kembali peristiwa banjir besar pada 1963, didapati impaknya adalah secara menyeluruh.
Hal ini pernah dibincangkan sebelum ini, di mana taburan hujan yang lebat dan berterusan di Sibu telah memberi kesan ketara terhadap kenaikan paras air di pelbagai lokasi di Bahagian Ketiga (Sibu).
Kejadian ini bukan sahaja di Bahagian Sibu tetapi menjalar sehingga ke utara, menyebabkan Ng Selangau, Tatau, Anap dan Niah dilanda banjir. Akibatnya beberapa sekolah ditutup. Seramai 1,500 penduduk di Marudi pula menjadi mangsa banjir.
Jawatankuasa
Dalam usaha menangani masalah banjir ini pada tahun tersebut ditubuh jawatankuasa oleh pihak kerajaan. Salah satu contohnya adalah penubuhan Jawatankuasa Bantuan Banjir Bahagian Ketiga.
Jawatankuasa ini diketuai oleh Residen Bahagain Ketiga, manakala ahli-ahlinya terdiri daripada kesemua pegawai daerah. Beberapa pemimpin tempatan seperti Sandah anak Penghulu Jarau, Cheh Ko Ming, Ling Beng Siew, Ainnie Dhoby dan Temenggung Jugah Anak Barieng.
Beberapa jabatan kerajaan juga terlibat menganggotai jawatankuasa ini iaitu Jabatan Perubatan, Jabatan Pertanian, Bahagian Perhutanan, Majlis Bandar Sibu, Bahagian Kejuruteraan dan Pendidikan.
Kesemua badan-badan kerajaan ini diwakili oleh pegawai masing-masing kecuali Majlis Bandar Sibu yang diwakili oleh pengerusinya.
Bantuan
Dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut pada 27 Februari 1963 yang berlangsung di Kantin Polis, Sibu, pengerusi telah memberikan taklimat mengenai usaha-usaha yang telah dilaksanakan bagi membantu penduduk yang terkesan akibat banjir.
Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan untuk meringankan kesusahan mangsa banjir telah disalurkan melalui pengagihan beras dan pakaian ke kawasan-kawasan yang terjejas.
Pengerusi juga memaklumkan bahawa kawasan paling terjejas adalah di Kampung Kuala Matu, kebanyakan penduduknya hilang tempat tinggal.
Dalam perkara ini, 16 dari 25 rumah yang musnah telah diberikan bantuan kewangan berjumlah $100 setiap rumah, diikuti tambahan $50 sebagai sokongan untuk kerja-kerja pembaikan kediaman.
Mukah merupakan daerah paling teruk dilanda banjir. Kawasan tengah sungai Oya dan sungai Mukah menghadapi masalah kehilangan kawasan penanaman padi termasuk haiwan ternakan dan kebun-kebun mereka.

Keadaan
Pegawai Daerah Sibu pula memaklumkan bahawa penoreh getah yang terdiri daripada kalangan penduduk Iban mengalami masalah kekurangan makanan. Bantuan telah disalurkan kepada penduduk ini yang berbentuk catuan.
Keadaan yang sama turut dialami penduduk di Kanowit. Banjir yang melanda kawasan tersebut telah menjejaskan kegiatan ekonomi utama mereka, iaitu menoreh getah, sehingga penduduk tidak berupaya memperoleh sumber pendapatan untuk mendapatkan bekalan makanan.
Keadaan di Kapit pula agak kurang terjejas. Ini kerana masalah banjir tidak memberi kesan besar kepada penanaman padi di kawasan tersebut.
Tambahan juga kawasan yang agak terjejas seperti di dua rumah panjang di hilir Sungai Pila dan satu di Belaga tidak memerlukan bantuan kerana hasil tanaman padi mereka tahun sebelumnya mampu menampung bekalan makanan untuk mereka.
Di Binatang (Bintangor) pula kawasan paling terjejas adalah Matu. Bantuan berbentuk 10 beg beras telah diagihkan kepada penduduk Matu.
Lapan beg sumbangan beras itu datangnya daripada sumbangan orang perseorangan yang dihantar ke badan St Anthony, sebuah badan mubaligh Roman Katolik.
Penduduk Tamin juga menghadapi masalah banjir. Sebanyak $21,000.00 telah dibelanjakan untuk membeli beras bagi disalurkan kepada mangsa banjir.
Salah satu usaha pemulihan dilakukan di Tamin adalah mengeluarkan lesen-lesen balak semula. Usaha ini dilakukan untuk membolehkan penduduk tempatan terjeja, bekerja semula bagi mendapat pendapatan segera. Usaha ini sebagai satu projek perintis untuk dikembangkan ke Mukah dan Balingian.
Percuma
Jabatan Pertanian Sibu pula menyatakan mereka telah merancang untuk membantu penduduk tempatan terutama petani dengan memberi benih percuma seperti sayur dan jagung.
Pada Mei tahun tersebut, mereka memberi secara percuma benih-benih padi. Dalam usaha mendapatkan bekalan bijih benih padi ini, pihak jabatan menerusi pengarahnya telah berhubung dengan Tanah Melayu untuk mendapat 70 tan biji benih untuk dihantar ke Sarawak.
Bagi Jabatan Pendidikan pula terdapat cadangan untuk mengecualikan yuran dan memberi makanan percuma kepada kanak-kanak sekolah.
Oleh kerana sekolah di bawah Majlis Bandaran, maka perkara ini telah dibawa ke majlis tersebut untuk dibincangkan.
Maklumat yang diterima oleh Kong Sung Seng bahawa Catholic Relief Fund Organization telah menghantar 500 beg gandum bulgar ke Miri. Beliau berpendapat mungkin juga boleh diedarkan di Bahagian Ketiga sebagai satu alternatif bantuan kepada mangsa banjir.
Fenomena banjir ini satu perkara yang harus dihadapi setiap tahun. Keadaan ini bergantung sama ada hujan itu lebat dan berterusan atau sebaliknya.
Atas sebab itu, amat perlu berjaga-jaga untuk menangani masalah ini termasuk semasa dan selepas kejadian banjir berlaku.
Apa yang diusahakan oleh pihak kerajaan dan pertubuhan sukarela penting untuk memelihara keselamatan, kemusnahan dan kesihatan penduduk yang dilanda banjir.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).