ILMU pengetahuan berupa elemen penting dalam konteks pencendekiaan dan pematangan manusia. Melalui ilmu pengetahuan, manusia memperoleh pelbagai input yang mampu dijadikan sebagai sandaran serta panduan mengharungi kehidupan. Semakin banyak ilmu pengetahuan yang diperoleh, semakin “bijaksana” seseorang pada pandangan umum. Lantaran hal sedemikian, manusia sanggup menjelajah ke seantero dunia dan berbelanja besar untuk menempatkan diri dalam kalangan “bakal” ilmuan di pusat-pusat pengajian tinggi terkemuka dan berprestij’
Malah, dalam bidang pekerjaan, penetapan pencapaian dalam bidang akademik dijadikan sebagai antara syarat wajib untuk pengisian jawatan-jawatan tertentu. Hal yang turut membawa kepada “pengejaran” watikah pengabsahan akan tahap akademik seseorang. Malah, dalam kalangan kakitangan yang berkhidmat, turut “tergoda” untuk melanjutkan pelajaran pada tahap yang lebih tinggi bagi tujuan kenaikan pangkat yang pastinya menawarkan gaji yang lebih tinggi dan lumayan daripada jawatan yang “dipegang’ terkini. Tidak ada salahnya, malah hal sedemikian berupa satu tindakan pengilmuan ke arah “pemantapan” pengetahuan dan kemahiran.
Namun, apabila terbaca kata-kata Socrates, iaitu “The more you know, the more you realize you know nothing”, timbul persoalan apakah yang dimaksudkan oleh beliau. Bagaimana mungkin pengetahuan yang banyak diperoleh, membuat seseorang tidak mengetahui banyak perkara? Dalam kalangan kebanyakan cerdik pandai, terdapat beberapa pandangan tentang maksud tersirat sebalik ungkapan tersebut. Namun, dalam nada sepakat, mereka bersetuju bahawa Socrates, cendekiawan dan filsuf ternama, berupa insan yang tidak segan untuk mengakui bahawa dirinya masih tidak mengetahui banyak perkara dan ilmu pengetahuan yang diperoleh, sama ada melalui pembacaan mahupun pemerhatian dan penilaian. Pernyataan tersebut, andai dilihat secara luaran sememangnya agak pelik tetapi hal berkenaan bukan membawa maksud bahawa Socrates tidak berilmu pengetahuan. Masakan seorang ahli filsuf sepertinya cetek ilmu pengetahuan.
Apa-apa yang diperkatakan oleh Socrates sebenarnya tidak mengelirukan. Pun tidak pula tidak masuk akal. Hal sedemikian akan terkesan sekiranya pemerhatian, penyelaman serta penaakulan mendalam dibuat. Dalam pembicaraan tentang karakter Socrates yang disifatkan sebagai psychological-philosophical, Friedrich Nietzsche dalam buku pertamanya, The Birth of Tragedy, (bab 14), menjelaskan bahawa “naluri berupa kuasa kreatif-afirmatif” (it is instinct that is the creative-affirmative force) bagi kebanyakan individu yang produktif. Namun, berbeza halnya dengan Socrates, yang dijelaskannya sebagai “naluri menjadi pengkritik, dan kesedaran menjadi pencipta” (instinct becomes the critic, and consciousness that becomes the creator).
Dalam penjelajahannya dalam dunia kritikan, Socrates telah mengkaji tentang negarawan, pembicara, karyawan serta artis terkemuka Athens. Beliau mendapati bahawa satu aspek yang paling ketara yang ditampilkan oleh hampir kesemua golongan ini adalah sifat yang beliau istilahkan sebagai “bongkak pengetahuan”. Dalam erti kata lain, angkuh dengan ilmu pengetahuan yang diperoleh sehingga, bagi Socrates, memperlihatkan ketidakupayaan mereka menentukan matlamat yang jelas serta pasti berhubung bidang yang mereka ceburi. Melalui penaakulan beliau, dapatan yang diperoleh menunjukkan bahawa mereka melaksanakan tugasan atau tanggungjawab berdasarkan NALURI, dan tidak sama sekali berdasarkan ilmu pengetahuan khusus yang dimiliki.
Hal yang sedemikian memberikan gambaran bahawa apa-apa ilmu pengetahuan yang diperoleh bagi memahirkan diri dalam profesion atau bidang tugas yang diceburi, sekadar bersifat ilusi. Dengan erti kata mudah, ilmu pengetahuan yang diperoleh tidak diguna pakai dalam pelaksanaan apa-apa tugasan. Situasi yang digambarkan oleh Socrates berlaku, bukan sekadar pada ketika zaman berkenaan sahaja, akan tetapi semakin “menjadi-jadi” dalam konteks dunia hari ini. Penggalian ilmu pengetahuan sekadar sebagai “pemenuhan syarat” bagi mencapai kehendak serta impian yang dihasratkan. Tidak perlu penulis huraikan dengan panjang lebar kerana hal sedemikian agak sensitif sifatnya. Bagi yang memahami, TST (tahu sama tahu), memadai.
Ungkapan yang diungkapan Socrates seakan-akan sama dengan ungkapan, “jawapan bagi satu pertanyaan akan menghadirkan persoalan-persoalan lain”. Natijahnya, ilmu pengetahuan, seandainya tidak diterapkan dan dipraktikkan dalam pelaksanaan apa-apa juga tugasan, tidak memberi apa-apa makna. Galilah sebanyak mana sekalipun ilmu pengetahuan, seandainya watikah “pengabsahan” pemerolehannya hanya sekadar sebagai penghias dinding ruang tamu rumah atau bilik pejabat, ibarat kata-kata Socrates, “The more you know, the more you realize you know nothing”. Selami dan taakuli sendiri maksud yang tersurat.