
ILMU adalah cahaya yang menerangi kehidupan manusia. Dengan ilmu, manusia mengenal Tuhan, mengatur urusan dunia serta memahami tujuan sebenar kehidupan.
Akan tetapi, ilmu tidak akan memberi manfaat jika tidak disertai dengan adab. Adab ialah akhlak, sopan santun, dan tata susila yang melahirkan keberkatan dalam menuntut serta menyampaikan ilmu.
Tanpa adab, seseorang boleh menjadi bijak tetapi sombong, pandai tetapi tidak berakhlak. Maka benarlah perumpamaan bahawa “Ilmu tanpa adab umpama pohon tanpa buah” kelihatan besar dan tinggi, tetapi tidak memberi manfaat kepada sesiapa.
Dalam Islam, menuntut ilmu bukan sekadar untuk mencari kepandaian duniawi, tetapi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Oleh itu, adab menjadi asas utama dalam perjalanan seorang penuntut ilmu. Adab mendidik hati agar ikhlas, merendah diri, dan menghormati orang yang menyampaikan ilmu.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Mujadalah ayat 11: “Allah SWT akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
Ayat ini menunjukkan mengenai keutamaan ilmu, namun peninggian darjat itu datang bersama keimanan, bukan hanya ilmu semata-mata. Ilmu tanpa iman dan adab hanya menghasilkan kesombongan.
Rasulullah SAW juga bersabda: “Bukanlah dari kalangan kami orang yang tidak menghormati yang tua, tidak menyayangi yang muda dan tidak mengiktiraf hak orang yang berilmu di antara kami.” (Riwayat Ahmad)
Hadis ini menegaskan bahawa menghormati orang berilmu adalah tanda keimanan dan adab yang mulia. Dalam Islam, guru bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi pembimbing rohani yang menyalurkan cahaya ilmu.
Tokoh-tokoh Islam terdahulu amat menitikberatkan soal adab sebelum ilmu. Imam Malik rahimahullah pernah berkata kepada muridnya: “Pelajarilah adab sebelum kamu mempelajari ilmu.” Ini menunjukkan bahawa adab adalah pintu kepada keberkatan ilmu.
Seorang pelajar yang beradab akan menjaga niatnya, tidak berbangga diri dengan ilmu, dan sentiasa menghormati gurunya.
Dalam konteks hari ini, adab terhadap guru termasuklah mendengar dengan penuh perhatian, tidak memotong percakapan, tidak memperlekeh pandangan, serta menjaga maruah dan nama baik guru di mana sahaja. Adab ini bukan hanya dalam kelas, tetapi juga di media sosial dan dalam pergaulan umum.
Tanpa adab, ilmu yang dipelajari tidak akan memberi keberkatan. Seseorang mungkin berjaya dalam pelajaran, namun gagal menjadi manusia yang berakhlak. Inilah hakikat pohon tanpa buah, kelihatan subur, tetapi tidak bermanfaat kepada manusia
ADAB TERHADAP GURU DAN ILMU
Guru dan ulama adalah waris para nabi. Mereka menyambung tugas Rasulullah SAW dalam menyampaikan ilmu dan kebenaran.
Oleh itu, menghormati mereka adalah tanda kita menghormati ilmu dan agama. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi.” (Riwayat Abu Dawud)
Hadis ini menjelaskan kedudukan tinggi ulama dan guru dalam Islam.
Mereka bukan sekadar penyampai fakta, tetapi penyambung risalah kenabian. Maka, menghormati guru bermakna kita menghormati warisan ilmu Islam itu sendiri.
Dalam sejarah Islam, kita melihat betapa tingginya adab para ulama terhadap guru mereka. Imam al-Syafi‘i rahimahullah, contohnya, tidak berani membalikkan helaian kitab di hadapan gurunya, Imam Malik, dengan kuat kerana takut mengganggu ketenangan beliau.
Begitu besar rasa hormatnya terhadap penyampai ilmu.
Allah SWT juga mengajar adab terhadap Rasulullah SAW, iaitu guru agung seluruh umat manusia. Firman-Nya dalam Surah al-Hujurat, ayat 2: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras sebagaimana kerasnya suara sebagian kamu terhadap sebagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedarinya.”
Kemuliaan akhlak Saidina Ali

SAIDINA Ali memiliki akhlak yang cukup indah. Manakan tidak, beliau membesar di rumah Rasulullah SAW.
Selain itu, beliau merupakan menantu Rasulullah SAW yang selalu diberi tarbiyah, bimbingan dan panduan oleh baginda.
Sifat dan peribadi beliau dibentuk sendiri oleh Rasulullah SAW sebagaimana seorang ayah membentuk sifat anaknya.
Oleh itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa akhlak Saidina Ali merupakan pantulan dari cahaya akhlak Rasulullah SAW.
Saidina Ali merupakan seorang yang pemalu. Namun begitu sifat malunya disulami dengan sifat kepahlawanan.
Saidina Ali juga terkenal sebagai seorang sahabat yang amat bersederhana dalam kehidupan sehariannya.
Beliau makan dari hasil titik peluhnya sendiri dan melakukan kerja rumah bersama isterinya sendiri seperti mengambil air dari telaga tanpa ada pembantu.
Bahkan isterinya, Saidatina Fatimah menggiling gandum dengan batu giling sehingga kedua tangannya melecet.
Mereka tidak menggunakan kedudukan mereka sebagai anak dan menantu Rasulullah SAW untuk mendapatkan kesenangan dunia.
Saidina Ali merupakan seorang insan yang dermawan. Beliau sangat ringan tangan untuk membantu orang-orang yang memerlukan. Sedangkan kehidupan beliau tidaklah semewah mana.
Namun itu bukanlah penghalang untuk beliau bersedekah. Saidina Ali berkata, “Aku lebih suka mengumpulkan beberapa orang sahabatku untuk makan bersama dengan satu atau dua sha’ makanan daripada pergi ke pasar untuk memerdekakan seorang budak”.
Dikatakan bahawa Saidina Ali memiliki banyak harta wakaf yang dijadikan sebagai sedekah jariyah. Harta wakaf daripada beliau bernilai 40,000 dirham.
Suatu hari ketika Saidina Ali menjadi khalifah, datang seorang lelaki kepada Saidina Ali.
Lelaki itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, aku memerlukan bantuanmu Aku telah memintanya kepada Allah SWT sebelum memintanya kepadamu.
Jika engkau memenuhi permintaanku ini aku akan memuji Allah SWT dan berterima kasih kepadamu.
Jika tidak, aku memuji Allah SWT dan memaafkanmu”. Saidina Ali membalas, “Tulislah di tanah, aku tidak mahu melihat pada wajahmu adanya kehinaan sifat meminta-minta”. Maka orang itu menulis “Aku orang yang memerlukan bantuan”.
Saidina Ali lantas berkata kepada pembantunya, “Bawakan padaku sehelai pakaian”.
Lalu dibawakan sehelai pakaian dan diberikannya pada orang itu. Orang itu segera mengambil dan memakainya, lalu memuji Ali dengan gubahan syair.
Kemudian Saidina Ali berkata, “Bawakan padaku wang dinar”. Maka dibawakan wang seratus dinar dan diberikannya kepada orang itu.
Oleh Hanzalah Azman