
SIBU: Seramai 66 peserta telah menyertai Kursus Pengurusan Jenazah yang dianjurkan sebagai usaha membudayakan ilmu fardu kifayah dalam kalangan masyarakat Islam tempatan di Jalan Sukun, Hulu Lanang baru-baru ini.
Kursus yang berlangsung dengan penuh penghayatan itu dikendalikan oleh dua tenaga pengajar berpengalaman dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Sibu, iaitu Ustaz Wan Nazarul Wan Latiff dan Ustazah Sharifah Mariah Wan Zain.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Masjid Darul Istiqamah Jalan Sukun Muhamed Ali Raya, objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pendedahan langsung kepada para peserta berkenaan teknik dan kaedah sebenar dalam proses mengkafankan jenazah sebagai satu persiapan akhir yang penting setelah jenazah selesai dimandikan.
“Penganjuran program seperti ini bukan sahaja sebagai satu bentuk pendidikan praktikal, tetapi juga bertujuan untuk memudahkan urusan jenazah terutama dalam kalangan ahli keluarga sendiri.

“Pengetahuan ini juga boleh dimanfaatkan apabila berhadapan situasi kematian melibatkan sahabat, jiran tetangga atau mana-mana individu Muslim di sekeliling,” tambahnya.
Ali berkata, urusan jenazah kadang kala terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan individu yang berkemahiran dalam proses pengkafanan.
“Melalui program ini, kita harap lebih ramai yang mampu tampil membantu apabila diperlukan dalam keadaan tersebut,” ujarnya.

Ali juga menyatakan bahawa sambutan positif yang diterima membuktikan masyarakat semakin sedar akan kepentingan ilmu fardu kifayah dan bersedia untuk mendalami kemahiran menguruskan jenazah.
“Insya-Allah, kursus seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang, agar lebih ramai dalam kalangan masyarakat bersedia dari segi ilmu dan amal dalam membantu urusan akhir hayat seseorang Muslim,” tegasnya.
Kursus ini turut menjadi platform untuk mengukuhkan ukhuwah dan semangat tolong-menolong dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang pengalaman.
Oleh Raihan Omera Kausar