Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Ikut fakta dan jangan ikut emosi
  • RENCANA

Ikut fakta dan jangan ikut emosi

Utusan Sarawak 11 hours ago
SERAMAI 11,396 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci setakat ini, menerusi 39 penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Bagi musim haji kali ini, kerajaan Arab Saudi meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia dan mereka dijangka tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat. Foto BERNAMA

FRASA ‘ikut fakta dan jangan ikut emosi’ boleh kita ertikan apabila membuat keputusan atau menilai sesuatu hendaklah berdasarkan kepada data, bukti dan fakta bukan berdasarkan mengikut perasaan peribadi seperti marah, takut, sedih atau senang.

Sebaik-baiknya jangan melibatkan emosi kita yang boleh mempengaruhi keputusan dan tindakan kita.

Dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar dan menuntut ketabahan hati setiap kita, tidak dinafikan terlalu banyak perkara di hadapan kita perlu ditangani dengan kebijaksanaan.

Jika tidak, hidup menjadi lebih sukar dan tidak terarah. Bagi melalui semua ini, penulis mencadangkan beberapa langkah berikut boleh kita aplikasikan sebagai cara kita mengukuhkan input fakta dalam setiap keputusan dan tindakan kita.

Semuanya hendaklah dimulakan dengan ilmu pengetahuan yang perlu ada pada kita selagi nafas dikandung badan.

Ilmu Pengetahuan Sebagai Bekalan Kehidupan

Ilmu pengetahuan sama ada ilmu duniawi mahupun ukhrawi sebagai pelengkap penting untuk menjalani hidup yang lebih baik, bermakna dan bermanfaat.

Ilmu mengajar kita berfikir secara rasional untuk menyelesaikan masalah dan juga membuat keputusan mengikut fakta dan data.

Pengetahuan kita tentang kesihatan, agama, teknologi, ekonomi dan lain-lain boleh membantu kita hidup lebih sihat, efisien dan produktif.

Dengan ilmu juga kita boleh memberi solusi, membantu orang lain dan membangun masyarakat seperti dalam agama Islam: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.”

Dalam Islam, ilmu yang diamalkan dan diajarkan termasuk amal jariah akan terus mengalir pahalanya.

Dalam pada itu, ilmu membuat kita boleh menerima dan menyesuaikan diri dengan perkembangan dunia serta mengenali sesuatu isu sehingga mampu memahaminya.

Kenal Isu Memudah Untuk Faham Punca Sebenar

Apabila kita benar-benar memahami sesuatu isu secara mendalam, kita akan lebih mudah mengenal pasti akar masalah atau punca sebenar yang menyebabkan isu itu berlaku. Tanpa mengenali isu dengan tepat, kita mudah membuat andaian atau tuduhan yang tidak berasas.

Jika kita tahu puncanya, jalan penyelesaian yang dicari akan lebih tepat dan kita akan menyelesaikan sesuatu masalah dari akarnya dan bukan sekadar menutup simptom.

Pemahaman sesuatu isu secara menyeluruh akan membantu kita bertindak secara adil, rasional dan strategik. Kita juga akan mampu meneroka jalan penyelesaian dengan melihat pelbagai opsyen.

Usaha Meneroka Dengan Melihat Pelbagai Opsyen

Usaha meneroka dengan melihat pelbagai opsyen memberi ruang kepada kita mencari jalan penyelesaian atau membuat keputusan dengan membuka minda kita melihat kepada pelbagai kemungkinan dan bukan terikat pada satu jalan sahaja.

Pendekatan sebegini penting untuk mengelak kita membuat keputusan terburu-buru di mana kita akan melihat pelbagai pilihan dan menilai secara objektif.

Dalam usaha kita meneroka pelbagai opsyen membolehkan kita menemui idea baru atau pendekatan yang belum pernah difikirkan.

Dengan mempertimbangkan pelbagai pilihan, kita boleh memilih jalan yang paling sesuai dengan keadaan, sumber dan matlamat kita.

Kita juga belajar melihat dari sudut pandang yang berbeza dan membantu kita untuk tidak terpengaruh agar maruah terjaga.

Tidak Terpengaruh Untuk Menjaga Maruah Diri

Tidak terpengaruh untuk menjaga maruah memberi pengertian bahawa kita tidak mudah terikut-ikut dengan pengaruh negatif walaupun datang dari rakan, media atau persekitaran, demi memelihara harga diri, prinsip dan integriti.

Maruah diri adalah nilai peribadi yang tinggi termasuk pada perspektif kehormatan, akhlak dan keyakinan diri. Orang yang menjaga maruah tidak akan membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan dirinya sendiri.

Kadang-kadang ramai yang terikut dengan trend, budaya popular atau ajakan kawan kerana takut dipulau atau ingin diterima.

Orang yang kuat jati diri tidak mudah goyah. Dia tahu apa yang betul dan salah serta berani menolak ajakan yang bertentangan dengan prinsip.

Maruah diri adalah aset yang tidak ternilai bagi setiap kita yang bergelar insan. Sekali tercalar, sukar untuk dipulihkan.

Maka, jangan mudah menggadai maruah hanya kerana ingin diterima atau takut ditolak. Berfikirlah terlebih dahulu dengan sebanyak mungkin input fakta sebelum membuat keputusan.

Fikir Dahulu Untuk Memperkukuhkan Input Fakta

Kita perlu berhenti sejenak dan berfikir secara kritikal sebelum menerima, menyebar atau bertindak berdasarkan sesuatu maklumat atau input fakta yang ada pada kita.

Tujuannya ialah supaya fakta yang kita pegang itu benar-benar kukuh, sahih dan berasas.

Dengan berfikir dahulu, kita boleh menapis maklumat yang tidak sahih atau beremosi. Keputusan yang kita buat adalah berdasarkan kepada fakta yang tepat serta lebih rasional dan boleh dipertahankan.

Sebagai insan yang diberi nikmat akal kita akan sentiasa menilai fakta sebelum bertindak agar diri menjadi lebih bijak dan berintegriti. Kita juga akan memberi pertimbangan yang lebih adil dan tidak memihak sesiapa.

Adil Pertimbangan Supaya Kita Tidak Memihak Sesiapa

Kita perlu membuat keputusan atau menilai sesuatu perkara secara seimbang, saksama dan berdasarkan fakta, bukan mengikut emosi, ikatan peribadi atau kepentingan tertentu.

Prinsip ini penting untuk kita menjaga integriti diri agar jujur pada prinsip yang dipegang khususnya keteguhan moral di samping mendapat kepercayaan orang lain.

Apabila orang lain melihat kita berlaku adil, maka mereka akan lebih percaya dan hormat pada keputusan kita.

Keputusan yang adil akan diterima dengan lebih terbuka, walaupun tidak semua pihak mendapat apa yang mereka inginkan.

Kita akan belajar menimbang hujah dari setiap sudut dan melihat gambaran yang besar, bukan sekadar mengikut sentimen. Kita turut menjadi komited untuk menyelesai sesuatu perkara dengan hala tuju yang jelas.

Komited Untuk Menyelesai Dengan Halatuju Jelas

Komited untuk menyelesai sesuatu dengan halatuju yang jelas bermaksud kita berpegang teguh kepada usaha menyelesaikan sesuatu masalah atau mencapai matlamat secara fokus, kesungguhan dan panduan arah yang jelas.

Kita tidak mahu membuat kerja separuh jalan. Komitmen kita adalah untuk memastikan kita tidak berhenti berusaha walaupun berhadapan dengan cabaran.

Halatuju jelas memberi arah dan tujuan di mana kita tahu ke mana hendak dituju. Tindakan kita menjadi lebih teratur dan berfokus.

Tenaga dan masa kita tidak dibazirkan kepada perkara yang tidak relevan. Dalam maksud lain, individu yang komited dan berhalatuju memberi inspirasi kepada pasukan untuk turut berusaha gigih di samping bertindak segera kerana masa itu umpama emas.

Tindakan Segera Kerana Masa Itu Emas

Kita perlu bertindak tanpa berlengah apabila peluang atau masalah muncul. Ini kerana masa sangat berharga dan tidak boleh diputar kembali.

Menangguh hanya melambatkan kejayaan dan boleh menyebabkan peluang terlepas. Usaha cepat bertindak menunjukkan disiplin, kesungguhan dan fokus terhadap matlamat.

Orang lain akan lebih yakin dengan individu atau pasukan yang pantas dan responsif. Langkah awal dapat mencegah risiko atau kerugian yang lebih besar.

Dengan erti kata lain, mereka yang berjaya bukan semata-mata kerana mereka tahu apa yang perlu dibuat, tetapi kerana mereka buat dengan segera.

Dalam perspektif syariah, orang yang menjaga masa dan melakukan apa yang terbaik dalam setiap detik masanya adalah orang yang akhlaknya terpelihara di mana niat semuanya kerana Allah SWT.

Akhlak Terpelihara Dengan Niat Kerana Allah

Akhlak terpelihara dengan niat kerana Allah SWT bermaksud seseorang akan sentiasa menjaga tingkah laku, adab dan perbuatannya.

Ini kerana dia sedar bahawa setiap amal diperhatikan dan dinilai oleh Allah SWT, bukan semata-mata untuk mendapat pujian manusia.

Apabila berniat kerana Allah SWT, seseorang akan berbuat baik walaupun tidak dipuji dan akan tetap menjauhi maksiat walaupun tiada siapa melihat.

Keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa melihat akan mendorong seseorang untuk menjaga lidah, perbuatan dan hati. Orang yang niatnya kerana Allah SWT tidak mudah berubah mengikut suasana atau emosi dan mereka tetap berpegang teguh kepada prinsip.

Akhlak yang baik bukan sahaja disenangi manusia, tetapi juga diberi pahala jika diniatkan kerana Allah SWT.

Mereka membantu orang lain dan tidak mengharapkan balasan atau pujian, tetapi hanya mengharapkan reda Allah SWT.

Berbekal dengan keyakinan bahawa Allah SWT mengetahui segala-galanya maka sesiapa antara kita yang berakhlak mulia akan tetap memastikan keputusannya dilakukan atas dasar fakta kebenaran dan bukan emosi.

Wallahu alam Bissawab

Continue Reading

Previous: Kebuk berusia seabad rahsia keenakan roti Mokhtar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.