
LIMBANG: Peningkatan jumlah pengunjung ke Utara Sarawak, khususnya di Bahagian Limbang, perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata Limbang bukan sahaja memiliki produk dan destinasi pelancongan menarik, malah turut menawarkan pelbagai produk IKS yang berpotensi untuk dikembangkan serta dikomersialkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Setakat ini, Limbang merekodkan kemasukan jumlah pengunjung yang tinggi setiap minggu, terutama dari negara jiran, Brunei, yang datang untuk membeli-belah di daerah ini.
“Jika kita mempunyai produk yang menarik, pasti lebih ramai akan datang. Kita sudah lihat sebelum sambutan Hari Raya baru-baru ini, ramai pengunjung dari Brunei datang membeli-belah di Limbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Limpaong, semalam.
Turut hadir ialah Pegawai Perpaduan Bahagian, Suriani Yusop dan Penghulu Zahedi Asol.
Dr Abdul Rahman menambah, antara sektor domestik yang boleh diberi penekanan ialah makanan kering, kraftangan, produk parang tempatan serta program inap desa yang berpotensi menarik minat pelancong.
Menurutnya, peningkatan jumlah peniaga dan produk tempatan yang ditawarkan menyumbang kepada perkembangan sektor IKS di Limbang, menjadikannya sebagai destinasi pilihan utama pengunjung dari dalam dan luar negara, termasuk Brunei.
Pada masa sama, kerajaan Sarawak terus komited membangunkan dan memperkasakan IKS dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta prasarana, selain menyokong usaha bersepadu daripada rakyat dan pihak berkepentingan untuk memajukan industri ini secara mampan.
Oleh Adeng Edrus