IKEA Kuching buka Disember ini, pertama di Malaysia Timur

Facebook
WhatsApp
IKEA Kuching bakal dibuka kepada orang ramai pada Disember 2026, menjadi kedai IKEA pertama di Malaysia Timur dan yang pertama menggunakan format kedai berskala kecil di Malaysia.

KUCHING: IKEA Kuching bakal dibuka kepada orang ramai pada Disember ini, sekali gus menjadi kedai IKEA pertama di Malaysia Timur dan yang pertama menggunakan format kedai berskala kecil di Malaysia.

Pembukaan itu bakal membawa pengalaman IKEA lebih dekat kepada masyarakat Sarawak, termasuk inspirasi kelengkapan rumah, penyelesaian praktikal serta akses kepada rangkaian produk IKEA yang lebih luas.

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, pembukaan IKEA Kuching merupakan langkah penting dalam usaha syarikat menjadikan pengalaman IKEA lebih mudah diakses dan relevan kepada masyarakat tempatan.

“Kami mendengar daripada pelanggan di Sarawak dan teruja kerana IKEA Kuching tidak lama lagi bersedia untuk mengalu-alukan mereka.

“Cita-cita kami sentiasa untuk mewujudkan kehidupan seharian yang lebih baik untuk semua.

“IKEA Kuching membawa kami selangkah lebih dekat kepada matlamat itu dengan menjadikan pengalaman IKEA lebih mudah diakses dan relevan dengan cara masyarakat di sini menjalani kehidupan di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berbeza daripada empat kedai IKEA berskala lebih besar yang kini beroperasi di Malaysia, IKEA Kuching direka dalam format lebih kompak dan mudah diterokai, namun tetap menawarkan pengalaman IKEA yang sama.

Pelanggan boleh meneroka ruang kediaman yang memberi inspirasi, mendapatkan penyelesaian kelengkapan rumah serta membeli produk terpilih untuk dibawa pulang pada hari sama, selain mengakses rangkaian produk IKEA yang lebih luas.

Menurut Malcolm, IKEA turut mengkaji cara masyarakat Kuching menjalani kehidupan di rumah sebagai persediaan pembukaan kedai berkenaan, termasuk menerusi kunjungan ke kediaman penduduk tempatan.

Beliau berkata, IKEA Kuching akan menawarkan penyelesaian yang mengambil kira keperluan dan gaya hidup masyarakat tempatan.

“Kami mahu apabila masyarakat Kuching melangkah masuk ke IKEA Kuching, mereka bukan sahaja mengenali IKEA, tetapi turut dapat melihat sebahagian daripada kehidupan mereka sendiri di rumah,” ujarnya.

Menjelang pembukaan itu, IKEA Malaysia turut akan mula mendekati komuniti tempatan bagi membentuk pasukan pekerjanya di Kuching, sekali gus membuka peluang kepada bakat tempatan untuk berkembang bersama syarikat berkenaan.

IKEA Kuching dijangka dibuka kepada orang ramai pada Disember 2026, dengan butiran lanjut termasuk tarikh pembukaan rasmi akan diumumkan kemudian.

Oleh Adele Rissa