Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • Ikatan Pembentukan Identiti Kebangsaan
  • KOLUM

Ikatan Pembentukan Identiti Kebangsaan

Utusan Sarawak 2 years ago
PERPADUAN… Gambar fail menunjukkan warga kerja Kementerian Pengangkutan menyambut sambutan Semarak Merdeka peringkat kementerian itu bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang akan disambut seluruh rakyat Malaysia, esok. FotoBERNAMA

TERDAPAT ikatan primordial dalam pembentukan identiti kebangsaan.

Ikatan primordial merujuk kepada aspek etniksiti yang tertanam dalam kehidupan kelompok manusia dalam sesebuah masyarakat yang kemudian membezakannya dengan kelompok yang lain.

Situasi ini memberikan keunikan berdasarkan faktor etniksiti, budaya, agama dan adat istiadat.  

Akhirnya ia membentuk individu dan kelompok tertentu yang mempunyai jati diri khusus.

Seorang sarjana bernama Needham (1978) menganggap primordial sebagai faktor utama  yang wujud dalam budaya dan manusia.

Ia dapat dilihat berdasarkan struktur atau sistem organisasi, idea yang diserlahkan yang dimiliki oleh mana-mana budaya.

Yang penting ia menunjukkan unsur keterikatan dengan pelbagai individu.

Misalnya, persoalan mengenai sesebuah kelompok manusia tersebut sangat terikat dengan bahasa, persaudaraan, malah wilayah dan agama mereka. 

Inilah dikenali sebagai prime, utama  dan primordial yang berlaku di serata dunia.

Pada masa sama perlu dibezakan dengan faktor yang mencetuskan fenomena dan kecenderungan tersebut dengan perkara fenomena dan kecenderungan tersebut.

Prime

Ia dianggap prime atau utama kerana ramai berasa ia sebagai penting untuk etnik dan nilai kemanusiaan mereka.

Dalam konteks ini, identiti asas mereka cenderung pula ditransformasikan dari satu generasi ke satu generasi seperti aspek bahasa, agama, etnik, jantina, keturunan dan sebagainya.

Bagi Geertz, keterikatan ini  berasal daripada anggapan yang diberikan kepada kewujudan wilayah sosial, sistem kekerabatan, perkongsian bahasa, agama dan amalan sosial. 

Kekuatan ikatan primordial ini berbeza mengikut individu dan masyarakat. Ia juga boleh mengalir secara rasa semula jadi hasil daripada interaksi sosial.

Perbincangan ini bertujuan menyerlahkan bahawa aspek pembentukan bangsa atau identiti kebangsaan tidak terlepas daripada aspek primordialisme dan ini penting bagi mengidentifikasikan diri sebagai sebuah etnik dan bangsa.

Ras dan Etnik

Elemen ras (race) atau etnik adalah dua konsep yang sering digunakan dalam konteks manusia untuk merujuk kepada kelompok-kelompok manusia yang mempunyai ciri-ciri bersama.

Meskipun kedua konsep ini sering kali dikaitkan, namun memiliki makna yang sedikit berbeza.

Ras adalah konsep yang menggambarkan ciri-ciri fizikal seperti warna kulit, bentuk wajah, struktur rambut, dan ciri-ciri fizikal lain.

Secara tradisionalnya, manusia dikelompokkan ke dalam beberapa ‘ras’ berdasarkan ciri-ciri fisik yang mereka miliki.

Namun, konsep ras ini telah menjadi subjek perdebatan sains dan sosial kerana ilmu genetik telah menunjukkan bahawa perbezaan biologis antara kelompok manusia tidak begitu jelas seperti yang pernah dipercayai.

Oleh itu, konsep ras sering kali dianggap kontroversial dan tidak sepenuhnya  tepat dalam menjelaskan perbezaan manusia.

Etnik pula merujuk kepada kelompok manusia yang berkongsi ciri-ciri budaya, bahasa, sejarah, tradisi dan kadang-kadang juga ciri-ciri fizikal tertentu.

Etnik adalah cara manusia mengenali diri mereka sebagai anggota kelompok tertentu yang mempunyai hubungan budaya dan sejarah yang sama.

Etnik boleh mencakupi aspek-aspek seperti adat istiadat, makanan, bahasa, agama, seni dan tradisi yang diwarisi dan dikongsi oleh kelompok tersebut.

Dirumuskan ras lebih bersifat fizikal namun konsep etnik lebih berkaitan dengan identiti budaya dan sejarah.

Bahasa

Bahasa mempunyai peranan penting dalam membentuk identiti kebangsaan  negara.

Bahasa bukan hanya sekadar alat komunikasi, tetapi juga merupakan salah satu aspek yang paling kuat dalam memperkuatkan ikatan dan kesatuan dalam kalangan masyarakat yang berbeza  etnik, budaya dan agama.

Dengan menggunakan bahasa yang sama, manusia dapat merasakan keterhubungan dan persamaan di antara mereka dan ini mencetuskan rasa kebersamaan dan identiti kolektif sebagai anggota sebuah negara bangsa.

Ia juga mampu mencipta jati diri apabila bahasa mampu meresap ke dalam aspek-aspek kehidupan seharian, termasuk dalam kebiasaan, tradisi dan ungkapan.

Bahasa sebagai simbol nasional apabila pemilihan bahasa rasmi yang dapat menjadi pernyataan politik yang kuat, menunjukkan kesatuan dan kepelbagaian etnik bersatu padu di bawah satu bahasa.

Bahasa daerah pula memberikan keunikan sendiri dan meraikan kepelbagaian di bawah konsep negara bangsa.

Agama

Aspek agama ialah faktor primordial kepada pembentukan identiti kebangsaan kerana tidak sekadar menerapkan nilai-nilai dan norma-norma sosial, tetapi juga memberikan kerangka spiritual dan moral yang menjadi dasar bagi kehidupan banyak individu dan masyarakat. 

Sebagai pemersatu nilai dan etika, aspek agama sering kali mendasari sistem nilai dan etika masyarakat.

Nilai-nilai yang dianuti dalam agama, seperti kejujuran, kasih sayang, kerja keras dan keadilan dapat menjadi dasar bagi moraliti dan perilaku sosial yang diterima dalam sesebuah anggota masyarakat.

Nilai-nilai ini dapat memperkuat rasa persatuan dan identiti  bersama.

Ia juga dapat memberikan perspektif  mengenai kesatuan yang lebih besar, tidak hanya dalam batas-batas khusus sesebuah etnik, tetapi juga sebagai sebahagian besar kepada  masyarakat dan ini dapat membantu membangun rasa persaudaraan dan perpaduan.

Dalam aspek agama, sering kali menjadi sumber inspirasi untuk seni, muzik, sastera dan bentuk ekspresi budaya lainnya dan ini dapat mencerminkan nilai-nilai dan identiti budaya dan  menghubungkan orang dengan akar budaya dan sejarah mereka.  

Budaya dan Adat

Budaya dan adat istiadat memiliki peranan yang sangat penting dalam membentuk identiti kebangsaan suatu negara.

Terdapat beberapa cara budaya dan adat istiadat dapat membentuk identiti kebangsaan melalui warisan budaya bersama yang mereka telah gariskan akan akar sejarah dan ini membantu mengidentifikasikan asal-usul dan pelbagai yang ada dalam masyarakat.

Warisan ini membentuk ikatan yang kuat antara anggota kelompok sebagai pemersatu apabila difahami dan dihormati.

Ia juga mencipta identiti unik yang memberikan perspektif tentang diri mereka sendiri dan negara mereka.

Selain memperkayakan warisan setempat ia juga mewakili suara setempat yang kurang diwakili dalam kerangka nasional dan ini akan memperkuat identiti mereka sebagai bahagian daripada budaya masyarakat. 

Manakala amalan budaya dan adat istiadat termasuk upacara pernikahan, pesta rakyat, perayaan agama dan lain-lain adalah penyertaan anggota masyarakat yang berasa terlibat dalam identiti kebangsaan yang lebih besar.

Ia juga mengandungi elemen sejarah yang mengingatkan masyarakat akan peristiwa penting dalam perkembangan negara.

Melalui lagu-lagu, cerita rakyat dan tanda-tanda sejarah, identiti nasional diperkuatkan melalui pengingatan akan perjalanan kolektif masyarakat.

Ternyata ia menjadi sejarah dan pengalaman perjalanan bangsa dalam konteks, peristiwa sejarah, penderitaan, kemiskinan, membangun bersama, dapat membentuk ikatan yang kuat antara anggota kelompok dan mendorong pembentukan identiti bersama.

Kesemua ini merupakan adalah ciri khas pengukuhan pembinaan identiti bangsa berdasarkan perspektif primordial.

Aspek ini dilalui melalui pemahaman, pelestarian dan penghormatan terhadap budaya dan adat istiadat.

Masyarakat dapat membangun rasa kebangsaan yang kuat berterusan dan saling terkait dalam membentuk landasan identiti kebangsaan.

Berdasarkan ciri-ciri inilah ia menjadi faktor yang terkuat dalam membentuk jati diri dan identiti sesama mereka.

  • Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Mengimbas sambutan Hari Kebangsaan di Sarawak
Next: Hasrat Merdeka dicabar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.