
PETRA JAYA: Ikan lumek salai, produk hasil laut tradisional yang sinonim dengan Pulau Bruit, mencuri perhatian sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 yang sedang berlangsung.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol telah membeli sebanyak 200 kilogram (kg) ikan lumek salai untuk diedarkan kepada semua wakil rakyat dan ketua jabatan yang hadir pada persidangan tersebut.
Selain itu, Abdullah Saidol turut memaklumkan bahawa pemberian istimewa itu akan disampaikan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang diketahui menggemari sajian ikan lumek salai goreng.
Harga pasaran semasa bagi ikan lumek salai adalah antara RM80 hingga RM100 sekilogram, bergantung kepada kualiti dan kaedah penyediaannya.