DI MANA ada kemahuan, disitu ada jalan. Pengalaman berkhidmat sebagai seorang guru di Sarawak pastinya satu pengalaman yang penuh bermakna dan tidak pernah dilupakan oleh seorang guru yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Mohamad Irwan Azmi, berusia 39 tahun dan kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Belah, Selangor Darul Ehsan berkata, salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah pengalaman mengajar di Sarawak dan ketika berkhidmat di Sarawak, bermulanya hobi membela ikan hiasan iaitu ikan laga.
“Saya berkhidmat sebagai guru di SK Nanga Spak, Betong bermula dari bulan Januari hingga bulan Mac 2009.
“Seterusnya, pada bulan Mac 2009, saya berkhidmat di sebuah sekolah di Saratok iaitu SK Ulu Awik, Saratok.
“Saya berkhidmat di SK Ulu Awik bermula pada Mac 2009 hingga Julai 2013,” katanya ketika dihubungi pemberita, baru-baru ini.
Katanya, pengalaman manis semasa mengajar di Sarawak ialah penduduk tempatan tidak bersikap sombong walaupun baharu dikenali.
“Mereka sangat peramah dan tidak bersikap sombong. Keadaan harmoni yang terserlah membuatkan saya lebih bersemangat bertugas ketika berkhidmat di Sarawak.
“Semasa berkhidmat di Saratok juga, saya pernah menggunakan motosikal untuk ulang alik sejauh 20 kilometer dari rumah sewa di pekan Saratok hingga ke SK Ulu Awik dan keadaan jalan pada ketika itu masih berbatu dan berdebu,” ujarnya.
Menceritakan detik bermulanya hobi membela ikan laga, Mohamad Irwan berkata, ia bermula ketika dia dan salah seorang anaknya yang masih kecil berkunjung ke salah satu kedai runcit di pekan Saratok untuk membeli barang keperluan dapur.
“Semuanya adalah satu kebetulan dan seakan-akan tanda pemulaan satu rezeki bagi saya dan keluarga.
“Bersebelahan kedai runcit itu adalah kedai menjual akuarium dan di satu sudut kedai pula terletak sebuah akuarium berisi seekor ikan laga cantik sebesar tiga telunjuk jari dewasa sedang ‘menari’ di dalamnya.
“Awalnya saya tidak mahu ambil peduli apabila anak saya asyik merenung tajam ke arah ikan laga tersebut. Saya beranggapan ia adalah perkara biasa apatah lagi bagi seorang budak kecil apabila ternampak sesuatu yang pelik atau baharu bagi mereka,” katanya lagi.
Jelasnya, kemudian anak kecilnya memintanya untuk membeli seekor anak ikan sebelum pulang ke rumah.
“Tanpa berfikir panjang, saya turuti sahaja kehendaknya itu,bimbang akan terjadi pekara tidak diingini berlaku apabila permintaannya tidak dituruti,” kata bapa kepada lima orang anak ini.
Kini, industri ikan hiasan ikan laga menjanjikan pulangan lumayan buat para pengusahanya dengan harga mencecah ratusan malah ribuan ringgit seekor mengikut gred dan keunikkan yang dimiliki.
Malah, Mohamad Irwan adalah nama yang tidak asing malah cukup terkenal dikalangan penternak dan pengedar ikan laga.
Ikan laga terkenal dengan kecantikan kombinasi warna kulit, sirip dorsal, sirip anal dan sirip kaudal.
Ia juga merupakan pilihan popular masyarakat sebagai ikan hiasan di rumah.
Menurut Mohamad Irwan, kejayaan merangkul kejuaraan dalam pertandingan TS Betta Competition 2017 anjuran Betta Society Malaysia (BSM) untuk kategori ikan laga tercantik bertempat di Ampang, Selangor.
“Pada ketika itu, pertandingan ini turut disertai beberapa negara luar seperti Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand.
“Kejuaraan yang saya miliki di pertandingan ini menjadi pembakar semangat untuk terus bergiat aktif dalam bidang industri ikan hiasan ini,” tambahnya.
Mohamad Irwan juga terkenal dengan panggilan Cikgu Betta Irwan Azmi dan merupakan salah seorang anggota, penternak dan pengedar ikan laga yang paling aktif di dalam pasukan Golden Betta Team yang disertainya buat masa ini.
“Alhamdullillah, walaupun jualan agak terjejas akibat penangan pandemik Covid-19 yang melanda di waktu ini tetapi permintaan dari peminat ikan laga tetap meriah dari kalangan pengemar ikan laga sekitar Selangor sendiri.
“Sebelum penularan pandemik,untuk mendapatkan hasil jualan satu hingga dua angka dalam sebulan bukanlah suatu perkara yang mustahil dan susah untuk direalisasikan.
“Tetapi kini untuk mendapatkan pendapatan hasil jualan sebanyak RM 700 hingga RM 800 sebulan pun payah,” luahnya.
Tambahnya, cabaran utama semasa Covid-19 ialah kesukaran untuk membuat penghantaran kepada pelanggan luar semenanjung kerana banyak pembatalan penerbangan selain kesukaran untuk mendapatkan sijil perakuan perlepasan dari pihak berwajib seperti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Malaysia.
“Banyak permintaan terpaksa ditolak terutama sekali melibatkan pelanggan dari Sabah, Sarawak, Thailand dan Singapura.
“Walau perit namun kita kena akur dan reda di samping berusaha lebih lagi bersesuaian dan mengikut norma baharu.
“Mudah-mudahan pandemik ini akan segera berakhir dan semua orang dapat meneruskan kehidupan seperti sebelumnya,” ujarnya lagi.
Oleh EARL ANEK