
DARO: Program Ihya’ Ramadan 2026 Kampung Penasu menjadi landasan penting dalam menyemarakkan penghayatan ibadah di samping mengeratkan silaturahim masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Penasu bersama Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Darul Ikhlas itu berlangsung di dewan masyarakat kampung berkenaan, petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad menyempurnakan majlis tersebut.
Majlis dimulakan dengan simbolik pengagihan bubur lambuk kepada penduduk sebagai tanda kebersamaan dan semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.

Aktiviti itu turut mencerminkan nilai keprihatinan serta semangat gotong-royong yang terus menjadi amalan masyarakat luar bandar.
Program kemudian diteruskan dengan bacaan doa dan tahlil bagi memohon keberkatan, kesejahteraan serta keselamatan buat seluruh penduduk Kampung Penasu dan kawasan sekitarnya.
Majlis disusuli dengan acara berambeh berbuka puasa yang memberi peluang kepada penduduk berkumpul, bertukar khabar serta memperkukuh hubungan kekeluargaan dan perpaduan komuniti.
Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh perpaduan, memupuk nilai murni dan menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur.
Oleh Akun Giman