KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi pengeluaran tempatan terus menyederhana untuk mencatatkan 4.9 peratus pada September 2022 berbanding 6.8 peratus yang direkodkan pada Ogos 2022.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bacaan lebih rendah ini disumbangkan oleh indeks pembuatan dengan 8.1 peratus (Ogos 2022: 9.4 peratus), diikuti oleh indeks bekalan air (4.3 peratus) serta bekalan elektrik dan gas (1.2 peratus).
“Namun begitu, kenaikan ini diimbangi dengan penurunan indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (-15.5 peratus). Selain itu, indeks perlombongan kekal tidak berubah berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
DOSM menambah, berdasarkan asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan merekodkan penurunan selama empat bulan berturut-turut untuk mencatatkan negatif 1.4 peratus pada September 2022 (Ogos 2022: -0.2 peratus).
Semua sektor mencatatkan penurunan kecuali indeks bekalan air yang meningkat 1.1 peratus.
Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan -5.3 peratus dan diikuti oleh indeks perlombongan (-4.9 peratus), pembuatan (-0.7 peratus) serta bekalan elektrik dan gas (-0.2 peratus), jelasnya.
Menurut jabatan itu, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan 6.5 peratus pada suku ketiga 2022, lebih rendah daripada 11.1 peratus yang direkodkan pada suku kedua 2022.
“Ini disumbangkan oleh indeks pembuatan (9.1 peratus), perlombongan (4.9 peratus), bekalan air (3.1 peratus) serta bekalan elektrik dan gas (0.9 peratus),” tambahnya.
DOSM menjelaskan namun begitu, bacaan ini turut diimbangi dengan penurunan 12.1 peratus yang dicatatkan oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan.
Bagi IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus mencatatkan penurunan dengan negatif 6.4 peratus pada September 2022 (Ogos 2022: -0.5 peratus).
Selain itu, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 10.0 peratus (Ogos 2022: 11.3 peratus) manakala indeks barang siap naik 3.1 peratus, menurut jabatan itu.
DOSM menambah, pada asas bulanan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya turun negatif 5.4 peratus, diikuti indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen (-0.8 peratus) namun indeks barang siap meningkat 0.2 peratus. – Bernama