ODION Ighalo berkata, dia menunaikan impiannya setelah perpindahan pinjamannya ke Manchester United dilanjutkan walaupun dilanda wabak Covid-19.
Pemain antarabangsa Nigeria itu yang merypakan peminat seumur hidup United, menyertai kelab secara pinjaman dari Shanghai Shenhua pada Januari kerana situasi Covid-19 yang berlaku di China.
Bagaimanapun virus itu kemudian merebak ke Eropah dan menghentikan musim Liga Perdana Inggeris pada pertengahan Mac.
Nampaknya karier pemain berusia 30 tahun itu dengan United hanya lapan perlawanan memandangkan perjanjian asalnya akan berakhir pada 31 Mei.
Tetapi menjelang penyambungan semula musim Liga Perdana pada 17 Jun, United semalam telah bersetuju dengan Shenhua untuk melanjutkan tempoh pinjaman Ighalo hingga Januari.
“Saya sangat gembira. Ia impian saya untuk berada di sini. Saya sibuk dan bersedia untuk bermain,” kata Ighalo kepada MUTV.
“Beberapa hari terakhir sukar kerana ada perbincangan yang berbeza mengenainya tetapi sekarang saya sangat gembira, justeru saya perlu menumpukan perhatian sepenuhnya. Saya berada di sini hingga akhir Januari, jadi ini bagus untuk saya,” katanya lagi.
Empat gol terakhir dari Ighalo untuk United hadir dalam perlawanan Liga Europa di LASK iaitu aksi yang dilangsungkan tanpa penonton kerana penjarakan sosial di Austria.
Perlawanan tanpa penonton akan menjadi kebiasaan ketika Liga Perdana disambung semula dan Ighalo mengimbas pengalamannya, berkata: “Itu pelik, anda tahu, tapi tidak apa-apa.
“Kami tahu tidak ada yang dapat kami lakukan sekarang selain bermain tanpa kehadiran penonton dan kami gembira dapat melakukannya.
“Dalam perlawanan melawan LASK, itu aneh kerana anda dapat mendengar segala-galanya ketika rakan sepasukan berteriak. Dalam permainan biasa, anda tidak dapat mendengar, tetapi itu jelas dan keras.
“Agak pelik tanpa peminat, dan sukar, tetapi kita harus selamat jadi kita mahu melakukannya,” tambahnya. – AFP