
KUCHING: Sekitar 5,000 pengunjung memeriahkan program Iftar Perdana 2.0 di Tebingan Kuching-Pangkalan Sapi semalam, anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak (MIS) sempena Ramadan ini.
Program ini bukan sahaja menjadi medan berbuka puasa bersama, malah turut menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan.
Acara tersebut menawarkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta pengagihan juadah berbuka puasa seperti bubur lambuk, bubur pedas, bubur Asyura, kuih-muih dan pek iftar.
Program ini mendapat sokongan daripada beberapa penaja utama, antaranya Majlis Islam Sarawak yang menyumbangkan 5,000 pek iftar berserta bubur Asyura, manakala Bintulu Port Holdings Berhad menyediakan 3,000 kuih-muih dan minuman air balang, serta menjadi penyumbang terbesar untuk jamuan makan malam.

Selain itu, Affin Bank dan Restoran Mahashafi turut menaja jamuan makan malam, sementara Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Batu Lintang menyumbangkan 1,000 pek bubur pedas dan Maggi Malaysia menyediakan 1,000 pek bubur lambuk.
Menariknya, program kali ini turut memperkenalkan pengalaman ‘Glamping Ramadan’, memberikan pengunjung kelainan dan pengalaman unik semasa menikmati suasana berbuka puasa di tebingan ikonik bandar Kuching ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh terkemuka termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha dan tetamu kehormat lain.
Pihak DBKU turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan kolaborasi seperti Grit Event Management dan Masjid India Bandar Kuching, serta masyarakat yang hadir atas sokongan padu dalam menjayakan program ini, sekali gus menjadikan Iftar Perdana 2.0 satu pengalaman Ramadan yang penuh makna dan meriah.