
KUCHING: Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak, berperanan penting dalam membantu ekonomi negeri mencapai kemajuan yang lebih mampan.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, isu perubahan iklim kini menjadi tumpuan dunia yang perlu ditangani demi masa depan generasi akan datang.
Kini, Sarawak menerusi agenda ekonomi hijau, terus komited untuk meneroka industri tenaga boleh diperbaharui, bagi menangani kebergantungan terhadap tenaga fosil, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon.

Justeru, IEM turut memainkan peranan besar menjadi penggerak inovasi dalam pembangunan infrastruktur yang diperlukan, bagi merealisasikan agenda tersebut.
Abang Johari mempunyai keyakinan yang tinggi dalam perlaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), akan melahirkan lebih ramai jurutera tempatan bertauliah, sebagai pemangkin kepada sektor kejuruteraan di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis makan malam Tahunan Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM) Sarawak di sini, semalam.

Dalam majlis yang sama, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran tiga Surat Hasrat (LOI) yang berasingan di antara IEM Sarawak dengan Akademi Semikonduktor Maju Malaysia (ASEM), SOLARVEST dan Saint-Gobain Malaysia, selain pertukaran Memorandum Persefahaman di antara IEM Sarawak dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Turut hadir Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Presiden IEM, Profesor Insinyur Jeffrey Chiang Charles Ong Luin dan Pengerusi IEM Cawangan Sarawak, Insinyir. Dr. Angelia Liew San Chuin.