

SAR hari ketiga hari ini mengesahkan penemuan satu jasad di perairan Laut Kabong pagi tadi. Foto Bomba Zon 3 Sarawak
KABONG: Pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari ini mengesahkan penemuan satu jasad di perairan Laut Kabong pada hari ketiga operasi mencari dua nelayan yang dilaporkan hilang, sejak Rabu lalu.
Ketua Zon 3 JBPM Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata jasad tersebut ditemukan oleh nelayan tempatan pada 9.58 pagi, kira-kira 3.4 batu nautika dari lokasi terakhir mangsa dikesan.
“Identiti jasad yang ditemukan masih belum disahkan secara rasmi. Ia telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses pengecaman oleh ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.
Muhammad Rais berkata pihaknya tidak pasti sama ada jasad yang ditemu itu adalah jasad salah seorang mangsa dua beranak nelayan yang dilaporkan hilang baru-baru ini.
“Kita akan mengesahkan semula apabila sudah mendapat maklumat daripada pihak polis berhubung identiti jasad yang ditemui itu nanti,” katanya.
Sementara itu, SAR pada hari ini dimulakan seawal 7.35 pagi, dengan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bertolak ke lokasi kejadian. Selepas taklimat diberikan kepada semua agensi yang terlibat pada 9.10 pagi, operasi pencarian secara rasmi dimulakan.
Penemuan jasad oleh nelayan kampung pada 9.58 pagi telah memberi petunjuk penting.
Pada 10.29 pagi, pasukan bomba tiba dan membawa jasad tersebut ke jeti Kabong dengan menggunakan bot penyelamat. Jasad tiba di jeti pada 10.58 pagi dan diserahkan kepada pihak polis pada 11.07 pagi untuk proses pengecaman lanjut.
Operasi hari ini melibatkan enam anggota dari BBP Saratok serta bantuan dari pelbagai agensi lain termasuk PDRM (lapan anggota dengan 1 bot), dua Pengawal Pantai Malaysia (PGU).
Selain itu 12 anggota Polis Bantuan Sarawak (PBS) Kabong, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lapan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan 15 anggota pasukan Rela.
Terdahulu, dua mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Tuah Bujang (57 tahun) dan anaknya, Aiman Tuah (24 tahun). Mereka keluar menangkap ikan pada Rabu, 3 September, 2.00 petang.
Cuaca buruk dengan hujan lebat dan laut bergelora dilaporkan pada 5.00 petang pada hari yang sama, menyebabkan kedua-dua beranak itu tidak dapat dihubungi.
Laporan kehilangan rasmi telah dibuat di Balai Polis Kabong pada keesokan harinya, Khamis, 4 September, 6.49 pagi, yang kemudiannya menggerakkan operasi SAR.
Muhammad Rais berkata SAR dua beranak yang hilang di perairan Kabong itu akan terus diperhebatkan dengan penyertaan pelbagai agensi.
Oleh Adi Safarman