
KUALA LUMPUR: Menerima jolokan sebagai ‘Mariah Carey Malaysia’ dek kelantangan suaranya, penyanyi Idayu Yaakob bagaimanapun mengakui pernah melalui fasa hampir berputus asa selepas bertahun-tahun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam industri muzik tempatan.
Pemilik nama Nur Farah Idayu Yaakob,41, berkata sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, terutama suami menjadi kekuatan untuknya terus bertahan dan bangkit meneruskan perjuangan sebagai anak seni.
“Sebenarnya dah lama saya rasa nak ‘give up’, tapi disebabkan orang sekeliling terutama suami dan keluarga sentiasa beri sokongan untuk saya terus berusaha, saya teruskan juga. Kita tak tahu bila rezeki kita akan berada di atas,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Bekas juara Akademi Fantasia Megastar itu berkata pada tahap sekarang, beliau lebih selesa memberi tumpuan kepada penghasilan karya berkualiti dan kepuasan dalam menyampaikan emosi sesebuah lagu berbanding mengejar populariti semata-mata.
Menurutnya, elemen “rasa” dalam nyanyian amat penting kerana mampu memberi kesan mendalam kepada pendengar.
“Kita tak nak lagu itu sekadar cukup ‘pitch’ dan tempo sahaja. Saya nak lagu itu ada rasa, sebab itulah yang akan buat orang tersentuh dan seterusnya meminati lagu tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Idayu berkata beliau bersedia untuk tampil dengan karya baharu sekiranya bertemu dengan lagu yang sesuai dan pada waktu yang tepat.

Mengulas single duet terbaharu berjudul Mahal, Idayu menyifatkan gandingannya dengan Iskandar Ismail berjaya menghasilkan karya yang sarat emosi dan meninggalkan kesan mendalam.
“Bila dengar hasil akhir lagu itu, saya sendiri meremang. Memang sedap bila suara kami digabungkan, lebih-lebih lagi Iskandar Ismail seorang penyanyi yang hebat,” katanya.
Idayu berharap Mahal mampu membuka lembaran baharu dalam perjalanan karier seninya selain memperkenalkan kembali namanya kepada generasi pendengar masa kini.
Malah, beliau turut berharap lagu tersebut mampu pergi lebih jauh termasuk mendapat perhatian peminat muzik tempatan dan berpeluang menembusi pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL). – Bernama