
KUCHING: Program ICT4HeR Wanita dan Teknologi menjadi pemangkin penting dalam usaha memperkasa wanita Sarawak untuk menguasai kemahiran digital selari perubahan teknologi masa kini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.
Katanya, kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk belia, ibu tunggal, suri rumah, usahawan kecil dan wanita profesional, membuktikan kesungguhan golongan wanita untuk meningkatkan pengetahuan digital mereka.
“Wanita masa kini tidak boleh ketinggalan dalam arus digital kerana penguasaan teknologi bukan lagi pilihan tetapi keperluan.
“Program ICT4HeR, jelasnya, menyediakan ruang pembelajaran merangkumi asas kecerdasan buatan (AI), fotografi, grafik menggunakan telefon bimbit serta kemahiran digital untuk perniagaan.
“Apabila wanita diberi akses kepada ilmu, perubahan tidak berhenti pada diri mereka sahaja. Ia mengalir kepada anak-anak, keluarga, komuniti dan masa depan negara,” katanya sambil menegaskan kepentingan memastikan wanita mampu bersaing dalam ekonomi digital.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Program ICT4HeR Wanita dan Teknologi di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Nancy turut menyentuh inisiatif Laman Wanita (LaWa), pusat pembangunan komuniti wanita yang menawarkan latihan literasi digital, kewangan dan kemahiran teknologi.

“Setakat ini, terdapat 13 kemudahan LaWa di tujuh negeri, manakala perluasan melalui LaWa-on-the-Go mula digerakkan pada 2025 bagi memberi akses kepada wanita di kawasan tanpa fasiliti kekal. Lebih 10,668 wanita telah menerima manfaat daripada 716 program LaWa sehingga September 2025,” jelasnya.
Beliau berkata program Gig@BIT turut membantu wanita mempelajari pemasaran digital, keselamatan siber serta modul Generative AI, dengan lebih 1,411 peserta mendapat manfaat secara fizikal dan lebih 170,000 individu mengaksesnya melalui platform digital tahun lalu.
Nancy turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Wanita Asia Tenggara Pasifik (PPSEAWA) Cawangan Sarawak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Pustaka Negeri Sarawak, Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), Persatuan Wanita Negeri Sarawak (PEWANI) serta semua pengajar dan sukarelawan yang membantu menjayakan program berkenaan.
Beliau menggesa semua peserta supaya terus mempraktikkan kemahiran yang dipelajari.
“Gunakan telefon bimbit bukan hanya untuk melihat, tetapi untuk mencipta gunakan media sosial bukan hanya untuk menonton, tetapi untuk menjana peluang,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat