KUALA LUMPUR: Usahawan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) halal perlu membuat persediaan sewajarnya bagi menghadapi gelombang perniagaan baharu yang menyaksikan ekonomi digital menjadi trend ekonomi masa depan.
Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan, Jaringan Korporat dan Komuniti), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Suhaimi Ab Rahman berkata, ini termasuk memastikan mereka mahir dalam aspek perniagaan e-dagang selain cekap menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam perniagaan.
“Data menunjukkan hanya 20 peratus PKS bumiputera menceburi bidang ekonomi digital. Ini bermakna PKS bumiputera termasuk PKS halal masih ketinggalan jauh dan perlu bertindak segera bagi memastikan mereka dapat menceburi bidang ekonomi digital ini,” katanya dalam kolum Tinta Minda di laman sesawang www.bernama.com.
Atas alasan itu, Suhaimi berkata, agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menyediakan pelbagai latihan berkaitan ekonomi digital yang perlu dimanfaatkan oleh usahawan PKS terbabit.
Malah, beliau berkata, peluang tersebut wajar dimanfaatkan oleh kalangan usahawan PKS bagi memperkasakan ilmu ICT dalam perniagaan masing-masing ke arah platform digital.
“Selain itu, pihak Perbadanan Pembangunan Industri Halal turut menyediakan beberapa program latihan halal manakala Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM menganjurkan Program Pembangunan Usahawan Halal dengan kerjasama QSR Brands (M) Berhad bagi membimbing usahawan halal agar lebih kompeten,” katanya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun lepas berkata, sejumlah RM25 juta diperuntukan kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (GLOW) bagi membimbing rakyat Malaysia menjana pendapatan dalam talian melalui pelanggan antarabangsa.
Selain itu, Suhaimi berkata, pandemik Covid-19 telah merubah persekitaran ekonomi dengan kewujudan transaksi tanpa sentuhan, sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, mementingkan kebersihan dan keselamatan serta transaksi tanpa tunai.
“Covid-19 mencetus suasana baharu dalam perniagaan. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan kini PKP Pemulihan, kebanyakan syarikat menggunakan persekitaran kerja pintar menggunakan teknologi digital dalam perniagaan mereka,” katanya.- Bernama