
KUCHING: Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penerangan Islam–Majlis Islam Sarawak (IIC-MIS), Tazudin Mohtar menyifatkan penganjuran Festival Kreativiti dan Inovasi Islam 2025 (ICIF 2025) sebagai bukti komitmen pihaknya dalam menyediakan platform yang segar dan inklusif bagi memupuk daya cipta berteraskan nilai-nilai Islam.
Beliau berkata, ICIF bukan sekadar acara dwitahunan, tetapi medan untuk memperlihatkan sumbangan umat Islam dalam pelbagai bidang seperti teknologi, seni dan keusahawanan melalui pendekatan yang bersifat terbuka kepada masyarakat umum.
“Sepanjang lima hari penganjuran, kami membawakan pengisian yang menggabungkan elemen ilmiah, kreativiti, dan hiburan beretika.
“Antaranya pameran seni Islam, jualan Mu’amalah dan Rahmah Madani, serta program Summer Campyang memberi peluang kepada pelajar dan belia untuk terlibat secara langsung,” katanya pada majlis pembukaan ICIF 2025 di Auditorium IIC-MIS, semalam.
Festival yang berlangsung dari 13 hingga 17 Ogos itu turut menampilkan ucaptama, sesi panel, pameran interaktif dan bengkel merangkumi pendidikan, teknologi, seni dan pembangunan komuniti.
Penceramah dan pakar terkenal dari dalam dan luar negara turut dijemput bagi memeriahkan festival ini.
Antara tarikan lain termasuk pameran kesenian Islam hasil kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), demonstrasi khat, kaligrafi digital, simulasi realiti maya (VR), Perlumbaan Eksplorasi, serta aktiviti kreatif oleh pelajar sekolah. Gerai jualan muamalah dan gerai Rahmah Madani turut disediakan.
Tazudin menambah, festival ini turut menjadi platform membina hubungan erat antara komuniti, memupuk interaksi sosial dan mengukuhkan jaringan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan penggiat industri kreatif.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, kerana merasmikan festival tersebut, serta kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, atas sokongan berterusan dalam menggerakkan agenda dakwah dan pembangunan ilmu.
“Terima kasih juga kepada semua penaja, rakan media dan warga IIC-MIS yang telah menjayakan penganjuran kali ini.
“Semoga ICIF 2025 menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menghargai nilai Islam melalui kreativiti dan inovasi,” ujarnya.
Oleh Adele Rissa