
KUCHING: Festival Kreativiti dan Inovasi Islam 2025 (ICIF 2025) bukan sekadar meraikan sebuah festival, malah menandakan perjalanan tujuh dekad penuh dedikasi Majlis Islam Sarawak (MIS) sejak penubuhannya pada 1955.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, menyifatkan festival tersebut sebagai sebuah platform unik yang menggabungkan teknologi, seni, perniagaan dan media digital berlandaskan etika Islam.

“Di sinilah tradisi bertemu pemikiran moden, menghasilkan idea yang bukan sahaja kreatif tetapi juga mempunyai tujuan dan manfaat.
“Kreativiti Islam tidak terhad kepada seni semata-mata, malah merangkumi inovasi dalam pendidikan, strategi keusahawanan dan pendekatan dakwah yang segar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dan perasmian ICIF 2025, di Auditorium IIC-MIS semalam.
Beliau berkata, ICIF 2025 memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap Islam, malah membina kerjasama antara pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.
“Generasi muda memerlukan ruang seperti ini untuk mengetengahkan bakat dan idea mereka. Dengan pameran, bengkel, dan perkongsian ilmu, potensi mereka dapat digilap sambil memelihara nilai murni,” ujarnya.

Beliau menegaskan harapan agar ICIF 2025 memberi impak positif jangka panjang dan menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk terus berinovasi dalam kerangka Islam.
“Kreativiti dan inovasi adalah kunci masa depan kita. Saya ingin menggalakkan belia agar berani berkarya, membina jaringan dan memanfaatkan peluang yang ada untuk kemajuan kerjaya dan kehidupan,” katanya.
Festival tersebut dianjurkan Pusat Penerangan Islam–Majlis Islam Sarawak (IIC-MIS) dengan kerjasama UNIMAS, Jabatan Mufti Sarawak, Tabung Haji Sarawak, Kementerian Dalam Negeri (Sarawak), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (Sarawak), Izaz Enterprise, Klinik Satok, Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Kuching, Letterhythm Studio dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEX).
Bertemakan ‘Keindahan Islam: Dakwah Kreatif dalam Era Digital’, menjadi wadah untuk menghimpunkan sarjana, pemikir, inovator dan masyarakat umum bagi memperkukuh perkongsian ilmu, selain mengangkat kreativiti berteraskan nilai Islam.
Oleh Adele Rissa