
MIRI: Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kali Ketiga (iCERI 2025) menjadi bukti keutuhan dan kehebatan komuniti pendidikan di Sarawak yang terus memacu kreativiti serta inovasi dalam bidang pendidikan sejajar aspirasi negeri menuju ekonomi berasaskan teknologi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, iCERI 2025 bukan sekadar platform akademik, tetapi telah berkembang menjadi ruang dinamik untuk pertukaran pandangan antara sarjana, pendidik, pembuat dasar dan pelajar.
“iCERI kini menjadi jambatan antara teori dan amalan, antara penyelidikan dan realiti bilik darjah, serta contoh bagaimana idea global dapat berkembang di peringkat tempatan, khususnya di Sarawak,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis ketika merasmikan iCERI 2025 di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini
Menurut Rolan, penganjuran iCERI 2025 yang bertemakan ‘Kreativiti dan Inovasi Pendidikan: Dari Penyelidikan Global ke Impak Tempatan’ amat bertepatan dengan keperluan masa kini dalam menghadapi perubahan pesat dunia pendidikan dan teknologi.
“Dalam landskap baharu ini, kreativiti dan inovasi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan asas. Lebih penting, kita mesti mampu menterjemahkan hasil penyelidikan kepada tindakan sebenar yang membawa impak kepada komuniti dan pelajar,” ujarnya.
Tahun ini iCERI 2025 menerima penyertaan 1,395 peserta yang terdiri daripada 503 peserta fizikal dan 892 peserta dalam talian, melibatkan penyelidik dan pendidik dari Sarawak, seluruh Malaysia serta enam peserta antarabangsa.
Persidangan turut menampilkan 116 pembentangan kertas kerja oleh 144 pembentang, 192 projek inovasi dalam enam kategori, serta 28 pasukan robotik yang disertai 62 pelajar muda.
Roland berkata penyertaan yang memberangsangkan ini jelas menunjukkan kekuatan ekosistem pendidikan di Sarawak yang terus berkembang dan mendapat pengiktirafan di peringkat serantau.
Oleh Liong Chai Ling