Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Ibubapa tonggak pembentukan sahsiah kanak-kanak di era digital
  • Tengah
  • WILAYAH

Ibubapa tonggak pembentukan sahsiah kanak-kanak di era digital

Utusan Sarawak 9 hours ago
UNTUK ALBUM…Para peserta Majlis Sambutan Hari Kanak-kanak bergambar kenangan selepas tamat program.

SIBU: Pendampingan ibubapa dilihat sebagai benteng utama dalam memastikan kesejahteraan emosi dan perkembangan karakter anak-anak pada era teknologi masa kini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata, walaupun penggunaan peranti elektronik semakin mendominasi kehidupan harian, asas pembentukan sahsiah kanak-kanak tetap bermula di rumah dengan perhatian serta masa berkualiti daripada ibubapa.

“Sesibuk mana pun, luangkan sekurang-kurangnya 10 minit untuk berbual dengan anak. Itu sudah cukup membuat mereka berasa disayangi dan dihargai,” katanya dalam teks ucapan dibacakan Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Bukit Assek, Joseph Lim pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak di Hann’s Esplanade, di sini, hari ini.

Tiong berkata, kekurangan komunikasi dalam keluarga sering menjadi punca tekanan emosi di sekolah, sekali gus mendorong kanak-kanak mencari perhatian di luar rumah dan terdedah kepada pengaruh negatif.

SEKITAR MAJLIS…Suasana sambutan Hari Kanak-kanak yang berlangsung di Hann’s Esplanade di Sibu, hari ini.

Sebaliknya, apabila anak merasakan mereka diterima dan didengar, emosi mereka lebih stabil serta lebih mudah berkongsi masalah, membolehkan isu ditangani lebih awal.

“Rumah adalah sekolah pertama, dan ibubapa adalah guru pertama,” katanya sambil menegaskan bahawa nilai hormat, adab dan tanggungjawab dibentuk melalui hubungan rapat dalam keluarga.

Beliau turut mengingatkan bahawa kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah juga memerlukan perhatian sama, memandangkan mereka berdepan cabaran berganda dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Sim Ling Kian berkata, penganjuran sambutan itu bertujuan menggalakkan ibubapa meluangkan masa bersama anak melalui aktiviti santai.

Menurutnya, masa dan kehadiran ibubapa merupakan hadiah paling berharga dalam dunia kanak-kanak.

“Tiap pelukan dan kata dorongan adalah kekuatan yang membina keyakinan serta kebahagiaan mereka,” katanya.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Spaoh bakal miliki klinik kesihatan baharu bernilai RM41.4 juta
Next: CERT 2.0 perkasa komuniti Spaoh, Betong jadi barisan hadapan bencana

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.